Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Awang Hafiz
KUANTAN, 21 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa terbuka menerima pandangan, cadangan dan teguran membina daripada pengamal media bagi memperkukuh pentadbiran serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk media, penting kerana terdapat perkara yang mungkin tidak diketahui secara menyeluruh oleh pihak kerajaan.
Menurutnya, maklum balas yang membawa kebaikan kepada negeri dan rakyat akan dipertimbangkan demi penambahbaikan pentadbiran.

“Saya selaku ketua kerajaan, kalau sekiranya ada pandangan, cadangan daripada mana-mana pihak termasuk media, saya sangat mengalu-alukannya.
“Kadang-kadang apabila terbaca pandangan yang saya fikirkan membawa kebaikan untuk Negeri Pahang dan rakyat, saya ikut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Media Darul Makmur 2026 yang meraikan lebih 60 pengamal media termasuk pempengaruh di Bayu Weddings and Events, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal serta Pengarah Unit Komunikasi Strategik (UKS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Encik Azrinizam Ibrahim.
Turut hadir barisan ketua jabatan dan pengamal media.
YAB Menteri Besar berkata, teguran serta isu yang dibangkitkan media merupakan perkara lumrah dalam usaha memastikan pentadbiran negeri terus ditambah baik.
Beliau turut menghargai peranan pengamal media yang membantu menyampaikan maklumat kepada rakyat, selain menyumbang kepada peningkatan imej dan nama baik Kerajaan Negeri Pahang.
“Yang pentingnya, 80 peratus, 90 peratus yang dilaporkan media itu adalah berita yang baik dan benar untuk Negeri Pahang. Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau turut berkongsi perkembangan dan pencapaian ekonomi negeri, termasuk kedudukan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang yang mencatat prestasi keempat terbaik di Malaysia selepas Pulau Pinang, Selangor dan Johor. -PAHANGMEDIA

