Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 20 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Program Tenaga Penguji (Training of Trainers – ToT) Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat Sukan (MyTID) di Hotel Ancasa Royale, di sini, hari ini.
Keberangkatan Baginda Sultan Pahang turut diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Program anjuran Institut Sukan Negara (ISN) itu bertujuan memperkukuh usaha pengenalpastian dan pembangunan bakat sukan negara menerusi pendekatan saintifik, sistematik dan berasaskan data bagi mengenal pasti potensi atlet sejak di peringkat akar umbi.

Pengerusi Lembaga ISN, YBhg. Dato’ Sri Dr. Zulkharnain Ismail dalam ucapannya berkata, kecemerlangan sukan tidak hanya bermula apabila seseorang atlet melangkah ke pentas pertandingan, sebaliknya bermula dengan usaha mengenal pasti, membimbing dan membangunkan potensi mereka sejak peringkat awal.
Menurut beliau, pendekatan pengenalpastian bakat berasaskan sains sukan merupakan pelaburan strategik bagi membina asas pembangunan atlet yang lebih tersusun, inklusif dan mampan.
“Setiap murid mempunyai potensi tersendiri yang perlu dikenal pasti dan diberikan laluan pembangunan bersesuaian.
“Justeru, pengenalpastian bakat bukan sekadar proses memilih atlet, malah merupakan pelaburan strategik untuk membina asas pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Sejajar dengan matlamat itu, ISN melalui Cawangan Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat telah melaksanakan inisiatif pengenalpastian dan pembangunan bakat sukan dari 2023 hingga 2025.
Program ToT MyTID yang berlangsung selama dua hari, bermula 20 hingga 21 Oktober ini, melibatkan 50 guru dari 48 sekolah kebangsaan yang mengikuti latihan teori dan amali bagi memperkukuh kemahiran mengenal pasti serta membangunkan potensi bakat sukan dalam kalangan murid.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal serta ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

