Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 OKTOBER 2026 : Pasukan Lagenda Ex Pahang FA bakal menentang Ex Kelantan FA dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur pada 7 November ini, dengan sasaran kehadiran lebih 25,000 penonton.
Perlawanan timbal balik itu menyusul kekalahan Ex Pahang 1-2 kepada Ex Kelantan pada 3 Mei 2025 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sekali gus membuka peluang kepada skuad Tok Gajah memburu kemenangan di laman sendiri.

Menurut bekas pemain Pahang, Azamuddin Akil atau Alex, pertembungan itu menghimpunkan semula bekas pemain yang pernah mewarnai kegemilangan bola sepak kedua-dua negeri, selain memberi peluang kepada penyokong mengimbau persaingan sengit yang pernah tercipta.
Beliau berkata, perlawanan berkenaan bukan sekadar aksi persahabatan, sebaliknya membawa misi membalas kekalahan terdahulu serta menyemarakkan kembali semangat bola sepak Pahang.
“Ini bukan perlawanan persahabatan yang biasa. Kami bersepakat untuk misi membalas dendam pada bulan Mei lalu ketika beraksi di Kelantan.
“Kami membawa semula pemain-pemain bertaraf tinggi dan pemain tempatan yang ada ketika ini supaya penyokong dapat mengembalikan semangat serta mengimbau perlawanan-perlawanan terdahulu ketika kita bersaing bersama.
“Ketika di Kelantan dahulu, perlawanan Pahang menentang Kelantan dihadiri 20,000 penonton. Saya berharap di Pahang nanti, lebih 25,000 orang dapat hadir. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Penyampaian Tajaan RM100,000 daripada PUC Sport Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Shukry Pauzi.
Selain menghidupkan kembali nostalgia bola sepak tempatan, pertemuan itu turut diharap menjadi langkah awal untuk menyemarakkan sokongan terhadap bola sepak Pahang serta membuka ruang kepada usaha membawa pasukan negeri kembali bersaing dalam Liga Malaysia.
Antara pemain yang dijangka memperkuat Ex Pahang ialah Azamuddin, Razman Roslan, Fauzi Rozlan, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra, Juzaili Samion dan legenda skuad Tok Gajah, Azizul Kamaluddin.
Ex Kelantan pula bakal menampilkan pemain berpengalaman seperti Badhri Radzi atau Piya, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Mohd Daudsu Jamaluddin bersama beberapa lagi bekas pemain.
Tiket perlawanan ditawarkan pada harga bermula RM10, manakala sebanyak 1,000 helai jersi edisi khas terhad yang menampilkan tandatangan 18 pemain akan dijual pada harga RM50 sehelai.
Pemenang perlawanan itu bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta piala pusingan.
Dalam perkembangan berkaitan, klinik bola sepak eksklusif Touch by Legend akan diadakan pada 6 November di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), melibatkan pemain dan jurulatih dari Pahang serta Kelantan bagi berkongsi pengalaman dan ilmu dengan pemain muda.-PAHANGMEDIA

