KUANTAN, 15 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan tahniah kepada Jennyfer Ellisa Anak Thomas atas kejayaan terpilih mewakili Malaysia dalam Program Kepimpinan dan Kesatuan Global Lima Pusat Dunia Program Bespoke yang akan berlangsung di Our Chalet, Switzerland, dari 17 hingga 24 Oktober 2026.
Jennyfer Ellisa, Ahli Pandu Puteri Remaja dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kedaik Komprehensif 9, terpilih menyertai program berkenaan yang memberi peluang kepada peserta untuk mengembangkan potensi kepimpinan serta memperluas pengalaman di peringkat antarabangsa.

Kebawah Duli Paduka Baginda, selaku Penaung dan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang, turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian Jennyfer Ellisa yang bukan sahaja mengharumkan nama Negeri Pahang, malah membuktikan kemampuan generasi muda negeri ini untuk menyerlah di persada antarabangsa.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut berharap agar penyertaan Jennyfer Ellisa dalam program berkenaan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu, memperkukuh kemahiran kepimpinan serta menjadi inspirasi kepada ahli Pandu Puteri yang lain. -PAHANGMEDIA

