Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 29 SEPTEMBER 2026 : Seramai 466 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari empat daerah menerima manfaat menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Umum.
Empat daerah berkenaan ialah Temerloh, Jerantut, Maran dan Bera, membabitkan peruntukan sebanyak RM116,500 kepada Pengerusi JPKK dan RM46,000 kepada Setiausaha JPKK.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri itu mampu menjadi motivasi kepada kepimpinan JPKK untuk terus berkhidmat dan membantu masyarakat setempat.
“Cetusan idea yang dibawa oleh YAB Menteri Besar Pahang ini diharap dapat memberikan motivasi kepada ketua-ketua kampung untuk terus menjadi pembantu kepada penduduk setempat.
“Kita berharap setiap ketua kampung dapat berfungsi membawa suara rakyat kepada kerajaan. Sebab itu, kita mahu setiap kampung mempunyai profil yang lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Umum sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Tun Razak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut menambah baik kadar elaun dan bantuan kepada kepimpinan JPKK sebagai menghargai peranan mereka dalam membantu masyarakat.

“Dulu elaun Pengerusi JPKK hanya RM500, sekarang dinaikkan kepada RM1,000. Begitu juga bantuan wang saku yang sebelum ini RM200, kini meningkat kepada RM500.
“Setiausaha JPKK yang sebelum ini tidak menerima bantuan, kini turut diberikan wang saku. Ini menunjukkan ada anjakan di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang dan kita tidak berada dalam keadaan status quo,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata setiap kampung perlu mempunyai profil penduduk yang lengkap dan tersusun bagi memudahkan keperluan masyarakat dikenal pasti serta disalurkan kepada agensi berkaitan.
“Kita berharap setiap kampung mempunyai profil yang teratur dan tersusun. Pertemuan ini bukan sekadar untuk mengagihkan kewangan, tetapi turut disertai taklimat oleh agensi berkaitan supaya mereka memahami konsep profil kampung yang perlu disediakan.
“Dengan adanya profil yang lengkap, mereka dapat mengetahui keadaan sebenar di kampung masing-masing dan maklumat itu tidak hanya disimpan dalam fail, sebaliknya disalurkan kepada agensi berkenaan serta pihak kerajaan,” katanya.-PAHANGMEDIA

