Oleh : Ahmad Fansuri Mohamad Nasir
KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 2026 : 10 alumni Pahang Lead diberi peluang mengikuti sendiri perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sekali gus menimba pengalaman dalam bidang politik dan kepimpinan.
Muhammad Farid menyifatkan penyertaannya sebagai peluang keemasan untuk memahami dengan lebih dekat perjalanan politik dan pengurusan sebuah parti besar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang membuka ruang kepada alumni Pahang Lead mengikuti perhimpunan berkenaan.
Nur Waheeda pula berkata, PAU 2026 memperlihatkan semangat ahli UMNO daripada pelbagai peringkat usia untuk terus menyumbang kepada parti dan negara.
“Tidak kira dalam kalangan belia mahupun bukan belia, semuanya masih bersemangat untuk memberikan sumbangan kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Syaraf Iman berpandangan perhimpunan tersebut turut menyerlahkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Bagi Muhammad Azmi Irfan yang berusia 18 tahun dan berasal dari Pekan, pengalaman memasuki dewan persidangan serta melihat sendiri perjalanan PAU menjadi pendedahan berguna kepada dirinya sebagai generasi pelapis.
PAU 2026 berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 September dengan penyertaan seramai 6,401 perwakilan, terdiri daripada 2,922 perwakilan UMNO induk, Wanita (1,163), Pemuda (1,171) dan Puteri (1,145).
Perhimpunan bermula dengan Majlis Apresiasi Penerangan dan Taklimat Presiden, sebelum perasmian serentak persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.
Persidangan penuh ketiga-tiga sayap berlangsung pada 10 September, manakala acara utama pada 11 dan 12 September melibatkan upacara menaikkan Sang Saka Bangsa, Ucapan Dasar Presiden, perbahasan usul serta ucapan penggulungan.
Penyertaan alumni Pahang Lead itu memperlihatkan usaha YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bukan sahaja menyediakan ruang kepada anak muda mengikuti program kepimpinan, tetapi turut membawa mereka melihat sendiri realiti medan politik.
Pendedahan seperti ini penting dalam usaha melahirkan generasi pelapis yang memahami perjuangan parti, mempunyai pengalaman sebenar dan bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan. -PAHANGMEDIA

