Oleh : Ain Nadhirah Basha
SELANGOR, 09 SEPTEMBER 2026 : Kontinjen Pahang mengumpul 25 pingat pada Para SUKMA Selangor 2026 membabitkan lima emas, lapan perak dan 12 gangsa setakat ini.
Pingat emas pertama bagi hari keempat temasya sukan ini disumbangkan pasangan Hazam Aqil Hasnan dan Mohamad Azri Nosi melalui para boling padang dalam acara Perseorangan B3 Lelaki yang menewaskan kontinjen dari Sabah.
Pingat emas kedua kemudian dihadiahkan pasangan Loh Chi Hui dan Afdal Haqimy Md Hanim menerusi sukan para memanah menentang Sabah dalam acara 70M Round Recurve Double P.I.2 Campuran di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Selangor.
Dua lagi pingat perak disumbangkan oleh Sascha Salman menerusi para renang dalam acara 200m Gaya Bebas S14 Wanita, dan Noor Nadia Amran menerusi para boling Padang pada acara Perseorangan B1 Wanita menentang Sarawak.
Bagi pingat gangsa, tiga pingat tersebut dihadiahkan oleh Mohd Shaari Mohd Jaafar melalui para olahraga pada acara Lempar Cakera F44/F64 Lelaki, pasangan Ahmad Shukrie Muhamad dan Muhammad Syawal Zahari dalam para tenpin boling bagi acara Beregu TPB8+ TPB8; dan Abdul Rahman Abdul Kadir pada para powerlifting dalam acara -107kg Angkatan Terbaik Lelaki.-PAHANGMEDIA

