Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2026 : Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menasihatkan penganjur aktiviti fizikal lasak dan aktiviti luar supaya tidak memandang ringan risiko haba, terutama ketika cuaca panas atau aktiviti berintensiti tinggi.
JKN Pahang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini turut mengingatkan penganjur untuk melaksanakan penilaian risiko sebelum dan sepanjang aktiviti, selain mengambil kira keadaan cuaca, persekitaran serta tahap kesihatan dan keupayaan fizikal peserta.
Tambah kenyataan itu lagi, peserta aktiviti sedemikian juga dinasihatkan untuk memastikan pengambilan air yang mencukupi sebelum, semasa dan selepas aktiviti bagi mengekalkan tahap hidrasi yang baik.
“Penganjur perlu memastikan bekalan air minuman mudah diperoleh di lokasi yang bersesuaian serta menyediakan tempoh rehat yang mencukupi, terutama ketika cuaca panas atau aktiviti berintensiti tinggi,” menurut kenyataan terbabit.

JKN Pahang turut menegaskan aspek pemantauan peserta perlu diberi keutamaan menerusi kaedah sistem buddy dan checkpoint bagi memastikan sebarang tanda kecemasan dapat dikesan lebih awal.
Pada masa sama, kesiapsiagaan pasukan perubatan kecemasan, ambulans serta pelan tindakan kecemasan dan evakuasi yang jelas perlu disediakan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Nasihat itu dikeluarkan susulan kematian seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan antara 156 peserta aktiviti jalan lasak di Maran baru-baru ini di mana mangsa dilaporkan berada dalam keadaan separa sedar selepas menamatkan aktiviti sebelum dibawa ke sebuah hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan kecemasan pada pukul 9.57 malam, 4 September lalu.
Mangsa kemudiannya dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital rujukan pada hari sama berikutan keadaannya kritikal, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 2.08 petang, 6 September.

Dalam kejadian itu, sembilan peserta mendapatkan rawatan di hospital, manakala dua daripadanya termasuk Allahyarham dirujuk ke hospital rujukan.
Setakat ini, seorang peserta masih menerima rawatan di ICU, manakala tujuh lagi menerima rawatan di hospital dan kesemuanya dilaporkan stabil.
Dalam pada itu, JKN Pahang menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti faktor yang mungkin berkaitan dengan kejadian merangkumi aspek persekitaran, pelaksanaan aktiviti, keadaan cuaca serta faktor-faktor lain yang berkaitan.
JKN Pahang menyambut baik tindakan pihak penganjur menghentikan aktiviti berkaitan susulan kejadian tersebut sebagai langkah berjaga-jaga sementara siasatan dijalankan. -PAHANGMEDIA

