Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 07 SEPTEMBER 2026 : Gema Citra Pahang1st bukan sekadar menjadi platform mencungkil bakat baharu, malah turut membuka ruang untuk mencari semula penggiat seni yang pernah aktif suatu ketika dahulu tetapi kini tidak lagi berada di pentas.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha mencari semula penggiat seni yang pernah aktif tetapi sudah lama tidak berada di pentas merupakan antara perkara menarik menerusi penganjuran Gema Citra Pahang1st.
“Satu perkara yang saya rasa cukup menarik tentang program ini ialah usaha kita untuk mencari semula penggiat-penggiat seni yang mungkin sudah lama tidak berada di pentas.

“Saya percaya ramai sebenarnya yang suatu ketika dahulu aktif menyanyi, bermain muzik, menari, berlakon atau terlibat dalam persembahan tradisional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Gema Citra Pahang1st Parlimen Cameron Highlands di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, malam tadi.
Menurut beliau, perubahan tuntutan kehidupan menyebabkan sebahagian penggiat seni terpaksa meninggalkan pentas, sama ada kerana komitmen pekerjaan, keluarga atau kekurangan ruang untuk membuat persembahan.
“Ada yang kerana kerja. Ada yang kerana keluarga. Ada juga mungkin kerana sudah tidak ada tempat dan peluang untuk membuat persembahan.
“Tetapi bagi saya, bakat itu tidak hilang. Kadang-kadang bakat itu cuma tersimpan lama,” katanya.

Mengulas lanjut, kewujudan pentas dan peluang persembahan mampu menjadi pencetus kepada penggiat seni lama untuk kembali mempersembahkan bakat mereka kepada masyarakat.
“Sebab itu saya harap melalui Gema Citra Pahang 1st ini, kita bukan sahaja dapat mencari bakat baharu, tetapi kita juga dapat menemukan semula bakat-bakat lama,” katanya.
Menerusi persembahan nyanyian, tarian serta seni warisan, program berkenaan bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya masyarakat setempat, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk mengenali, menghargai dan meneruskan warisan yang semakin dilupakan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM232,830 kepada 27 penerima sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri membantu meringankan beban dan menjaga kebajikan rakyat. -PAHANGMEDIA

