Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
SELANGOR, 06 SEPTEMBER 2026 : Kontinjen Pahang membuka tirai dengan dua pingat emas pada hari pertama Para SUKMA 2026 masing-masing menerusi acara olahraga lontar peluru dan memanah.
Emas pertama disumbangkan acara lontar peluru kategori LF44/46, atlet Shaari, sekali gus membuka tirai kejayaan Pahang pada temasya berkenaan.
Atlet Loh Chi Hui kemudiannya menambah emas kedua buat kontinjen Pahang selepas muncul juara acara Para Recurve Women pada pusingan kelayakan di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Selangor, di Shah Alam.
Loh mencatat 493 mata untuk menduduki tempat pertama, mengatasi wakil Sabah yang mengumpul 490 mata, manakala atlet Kedah meraih gangsa dengan 488 mata.
Kejayaan berkenaan menjadi pencapaian awal yang membanggakan buat kontinjen Pahang pada hari pertama saingan yang berlangsung hari ini.
Bagi acara badminton kategori PL SH6 wakil Pahang, Lee Yee Hao turut mencatat kemenangan selepas menewaskan wakil Pulau Pinang, 21-15, 21-19 pada pusingan pertama (RR1) pagi tadi.
Sementara itu, dalam acara Para Catur kategori Standard, Wan Nuraini Wan Yakob mendapat kemenangan secara bye pada pusingan pertama daripada enam pusingan di Wyndham Acmar Klang, sekali gus merekodkan mata 1-0.
Lebih manis, skuad pingpong Pahang turut mencipta kejayaan apabila Siti Nur Amira menewaskan wakil Perak 3-0 dalam acara perseorangan wanita kelas 1-5 di Dewan Majlis Bandaraya Klang.
Kemenangan itu menyaksikan Siti Nur Amira mara ke penentuan pingat emas dan perak, sekali gus membuka peluang untuk Pahang menambah koleksi pingat pada saingan Para Sukma kali ini.
Prestasi positif berkenaan memperlihatkan momentum awal yang baik buat kontinjen Pahang dalam misi memburu lebih banyak kejayaan sepanjang temasya. – PAHANGMEDIA

