Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 SEPTEMBER 2026 : Penubuhan Yayasan Pahang Commercial Centre (YPCC) sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan dan premis komersial dijangka menjana pulangan secara langsung sebanyak kira-kira RM4.8 juta setahun.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, jumlah berkenaan merupakan nilai nyata hasil daripada sewaan premis dan ia tidak termasuk manfaat tidak langsung daripada kewujudan pusat sehenti berkenaan.

“Yayasan Pahang Commercial Center di mana kita dapati dihimpunkan di satu tempat, macam one-stop center, semua ada. Ada Family Mart, ada McDonald’s, ada Chicago Chicken, ada banyak lagi.
“Ini satu usaha yang bagus dan ini sebenarnya memudahkan pengguna, jimat masa, jimat kos, tak payah pergi ke hulu atau pergi ke hilir, pergi satu tempat, semua ada di situ. Jadi ini satu usaha yang sangat baik.
“Of course ada revenue RM400,000 sebulan, maknanya RM400,000 sebulan, (setahun) RM4.8 juta. Itu sewaan sahaja. Itu yang tangible, yang nampak. Yang intangible, kita tak nampak lagi yang contohnya menjimatkan masa, tenaga itu yang intangible,” katanya.

Menurutnya, usaha berkenaan akan terus diperkasakan pada masa akan datang bagi menjadikan YPCC sebagai antara mercu tanda baharu yang mencerminkan perkembangan pendidikan dan ekonomi di Pahang.
“Saya berpandangan kita akan tingkatkan lagi usaha ini pada masa akan datang. Kita mahu apabila orang sebut YPCC Pahang, mereka terus nampak bidang pendidikan dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran YP Commercial Centre (YPCC) di Tanjung Lumpur hari ini.
Beliau berkata, YPCC turut mempunyai potensi untuk menarik lebih banyak syarikat dan rakan strategik pada masa akan datang, namun setiap permohonan akan dinilai berdasarkan kajian serta kriteria tertentu.

“Pemilihan rakan strategik atau stakeholder berdasarkan banyak kriteria. Setiap cadangan akan dikemukakan kepada lembaga untuk pertimbangan.
“Semua ini dibuat berdasarkan kajian dan bukan dibuat secara sembarangan. Contohnya, jika sudah ada pasar raya berdekatan, kita perlu melihat jarak dan kriteria tertentu sebelum membenarkan perniagaan baharu,” katanya.
Beliau turut menjangkakan pembangunan YPCC di Tanjung Lumpur mampu memberi limpahan ekonomi kepada kawasan berhampiran termasuk Serambi Teruntum.
“Apabila sini maju, kawasan sana pun akan turut maju dan sedikit sebanyak dapat membantu Serambi Teruntum,” katanya. -PAHANGMEDIA

