Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 01 SEPTEMBER 2026 : Kira-kira 60,000 penduduk di sekitar Pekan kini kembali menikmati manfaat bekalan air berfluorida menerusi pelaksanaan semula Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam di Loji Rawatan Air Ganchong, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, pelaksanaan semula program itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha pencegahan penyakit pergigian rakyat, khususnya kanak-kanak.
Katanya, Loji Rawatan Air Ganchong merupakan loji pertama di negeri ini yang melaksanakan semula program pemfluoridaan bekalan air awam selepas program berkenaan dihentikan sepenuhnya pada 2020.
“Bertuah orang Pekan kerana sekarang ini dapat bekalan air yang lebih sihat dan lebih bagus untuk penggunaan, malah ia memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di sini yang dianggarkan kira-kira 60,000 orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Pemfluoridaan Semula Bekalan Air Awam di Loji Rawatan Air Ganchong, di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBrs. Dr. Fauziah Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YH Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari, ketua-ketua jabatan serta pimpinan setempat.
Tambah YB Dato’ Ir. Razali lagi, program berkenaan mendapat kelulusan Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Pahang 2023 dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan usaha pemfluoridaan bekalan air awam disambung semula.
Ujarnya, program pemfluoridaan pernah dilaksanakan ketika pengurusan bekalan air masih di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA), namun dihentikan secara berperingkat mulai 2012 susulan proses penswastaan pengurusan loji dan bekalan air.

“Pada 2020, program ini dihentikan sepenuhnya dan tiada lagi penduduk menerima bekalan air berfluorida. Justeru, pelaksanaan semula ini adalah usaha penting untuk memastikan manfaat pencegahan penyakit pergigian dapat dinikmati secara lebih menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, kelebihan pemfluoridaan bekalan air awam ialah manfaatnya dapat dinikmati tanpa mengira lokasi, termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menerima bekalan air daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Katanya lagi, pendekatan itu turut membantu golongan yang berdepan kekangan ekonomi, jarak dan akses kepada perkhidmatan pergigian kerana penggunaan air berfluorida setiap hari membantu mencegah kerosakan gigi.

“Kanak-kanak berpeluang membesar dengan gigi lebih sihat, manakala golongan dewasa dan warga emas dapat mengekalkan fungsi gigi serta menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya lagi.
YB Dato’ Ir. Razali berkata, bekalan air bukan sekadar keperluan asas, sebaliknya aset strategik yang menjadi tunjang kepada pembangunan negeri termasuk sektor ekonomi, industri, pertanian, pelancongan dan kesejahteraan masyarakat.
“Setiap titisan air yang mengalir ke rumah rakyat bukan sekadar memenuhi keperluan harian, malah melambangkan iltizam Kerajaan Negeri memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, PAIP Berhad serta semua agensi yang terlibat, sambil menyifatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi pelaksana sebagai bukti pendekatan whole-of-government mampu memberi impak langsung kepada rakyat.-PAHANGMEDIA

