Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 OGOS 2026 : Jalur Gemilang gergasi diterbangkan dari langit sebelum dikembangkan pada ketinggian 4,000 kaki, antara yang mencuri tumpuan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, di sini, hari ini.
Lebih membanggakan, aksi penerjunan berkenaan bakal melakar sejarah apabila Jalur Gemilang gergasi berukuran empat meter kali enam meter dan seberat lapan kilogram itu diiktiraf dalam Malaysian Book of Records (MBOR).
Aksi mendebarkan itu membabitkan 18 penerjun Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang diterjunkan dari ketinggian 6,000 kaki menggunakan dua helikopter AW139 dari No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth.
Penerjunan diketuai Pegawai Memerintah PASKAU, Kolonel Muhammad Mustafa Omar TUDM, dengan para penerjun mempertaruhkan keberanian, ketepatan dan disiplin bagi memastikan misi membawa Jalur Gemilang dari langit ke bumi berjalan lancar.
Keunikan aksi itu bermula apabila Jalur Gemilang gergasi dibuka pada ketinggian kira-kira 4,000 kaki sebelum dikibarkan secara berpasangan ketika para penerjun terus meluncur ke bumi.
Pada ketinggian 1,000 kaki, kedua-dua bendera berkenaan dicantumkan di udara, menghasilkan pemandangan luar biasa yang mengundang sorakan dan tepukan gemuruh ribuan pengunjung yang memenuhi kawasan sambutan.
Selepas cantuman itu dipersembahkan, bendera berkenaan dipisahkan semula bagi membolehkan setiap penerjun melakukan pendaratan dengan selamat seorang demi seorang.
Dengan payung terjun dipandu pada kelajuan sekitar 40 kilometer sejam, aksi berkenaan bukan sekadar menuntut keberanian, malah memerlukan koordinasi dan ketepatan tinggi bagi memastikan bendera seberat lapan kilogram itu dapat dikendalikan dengan sempurna di udara.
Antara penerjun yang terlibat ialah Sarjan Udara Muhamad Firdaus Minhat yang mempunyai pengalaman sebanyak 553 penerjunan, selain Kapten Ahmad Syamil Ahmad Mahayadin TUDM, Kolonel Muhammad Mustafa Omar TUDM, Leftenan Kolonel Hendra Ahmad TUDM dan Leftenan Kolonel Dzulhazmy Zainal Abidin TUDM.
Sorakan dan tepukan gemuruh pengunjung bergema sebaik Jalur Gemilang gergasi berkibar megah di langit Kuantan, menjadikan aksi berkenaan antara detik paling mencuri tumpuan dalam sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun ini.
Lebih daripada sekadar pertunjukan udara, penerjunan itu membawa mesej patriotisme yang cukup kuat apabila Jalur Gemilang dibawa dari langit ke bumi, melambangkan kedaulatan negara, perpaduan rakyat serta kecintaan anak watan terhadap tanah air.
Aksi berkenaan turut menjadi manifestasi bahawa Jalur Gemilang sentiasa megah di hati rakyat Malaysia, tidak kira berada di darat mahupun di langit.-PAHANGMEDIA

