Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
TEMERLOH, 30 OGOS 2026 : Sembilan pasangan pengantin diraikan menerusi Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2026 Parlimen Temerloh yang berlangsung di Dewan Seri Mentakab, Mentakab, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, khususnya dalam meringankan beban kos mengadakan majlis perkahwinan.
Katanya, Program Anggun Suri yang memasuki penganjuran kali ke-10 tahun ini dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen di negeri ini sebagai usaha kerajaan membantu rakyat.

“Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama meraikan anak-anak kita dalam satu majlis yang cukup gilang-gemilang ini.
“Ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang dilaksanakan di setiap Parlimen dalam negeri Pahang bagi membantu anak-anak kita mendirikan rumah tangga,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan hari ini.
Beliau berkata, penganjuran Program Anggun Suri mendapat sambutan menggalakkan apabila jumlah Parlimen yang terlibat turut ditambah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kalau pada tahun pertama kita adakan di empat Parlimen, tahun kedua melibatkan 10 Parlimen dan tahun ini sebanyak 14 Parlimen selain satu lagi program khas untuk kem tentera, menjadikan keseluruhan 15 program.
“Bukan sedikit peruntukan yang dikeluarkan kerajaan bagi membantu anak-anak kita mendirikan rumah tangga kerana kita faham kos untuk mengadakan kenduri perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesinambungan Program Anggun Suri pada masa akan datang bergantung kepada keadaan dan keputusan kerajaan, termasuk sokongan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
Beliau turut mengingatkan pasangan yang diraikan supaya mengamalkan sikap sabar dan saling memahami dalam mengharungi kehidupan berumah tangga.
“Kehidupan berkeluarga amat berbeza dengan kehidupan ketika bujang. Sabar itu kena banyak. Jangan apabila ada masalah, terus lari. Sebaliknya, hadapilah bersama-sama,” katanya lagi.
Pada majlis sama, beliau turut menggalakkan pasangan berkenaan memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri Pahang, termasuk inisiatif Permata Makmur bagi anak yang dilahirkan di negeri ini.
Hadir sama, Pegawai Daerah Temerloh, YH Dato’ Khairur Rizal Ramli; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang, YH Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli; Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) Parlimen Temerloh, YH Dato’ Juhanis Abdul Aziz serta barisan pimpinan setempat.
Program berkenaan turut menjadi platform meraikan pasangan pengantin secara bersama dalam suasana meriah, selain mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu kebajikan dan kesejahteraan rakyat.-PAHANGMEDIA

