Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 OGOS 2026: Koperasi Pendidikan Melayu Pahang (CO-DIDIK) disasarkan terus berkembang dan daya saing bagi menerusi pelaksaan pembaharuan bagi memastikan kelangsungan koperasi itu sehingga mencapai usia 100 tahun.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, usia koperasi tersebut yang telah mencecah 76 tahun membuktikan pengurusan yang baik, selain mengamalkan integriti dan amanah, menjadi asas penting dalam memastikan kelangsungan koperasi berkenaan.

“76 tahun (usia CO-DIDIK) ini menggambarkan pengurusan yang baik ini akan menjadikan integriti yang baik ini, amanah yang baik akan menjadikan ia sustainability.
“Lebih kurang tujuh dekad sudah pun berlaku, InsyaAllah kita nak sambung lagi mungkin 3 lagi dekad mencapai ke 100 tahun.
“Saya berpesan agar mereka melaksanakan beberapa perkara-perkara pembaharuan dan transformasi yang baharu untuk menjangkau tiga dekad lagi yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pendidikan Melayu Pahang (CO-DIDIK) kali ke-86, selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Atabara Bandar Indera Mahkota 14, hari ini.
Tambahnya, kehadiran lebih 50 peratus daripada keseluruhan kira-kira 4,200 ahli pada mesyuarat berkenaan merupakan satu petanda positif terhadap perkembangan CO-DIDIK di bawah kepimpinan Pengerusi dan Lembaga Pengarahnya.
“Kehadiran hari ini melebihi 50 peratus daripada ahlinya iaitu 4,200 dan kehadiran pada hari ini. Ini menandakan satu petanda baik kepada CO-DIDIK iaitu di bawah pimpinan Pengerusi dan juga Lembaganya kerana dapat membawa beberapa segmen baru di dalam koperasi.
“Pihak kerajaan negeri pun telah pun menegaskan dan juga komited untuk membantu segala apa keperluan-keperluan yang perlu untuk kita lihat dan juga senaraikan berdasarkan keperluan yang terkini dan juga semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam menyediakan kemudahan pinjaman serta geran kepada koperasi yang layak.
Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan melalui geran tertentu berdasarkan permohonan dan kertas kerja yang dikemukakan oleh koperasi.
“Pihak SKM menyediakan ruang dan peluang pinjaman dan geran, malah koperasi di pihak kerajaan negeri juga menyediakan sedikit dana untuk membantu koperasi-koperasi yang ingin menjalankan perniagaan yang lebih baik,” katanya. -PAHANGMEDIA

