Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 28 OGOS 2026 : Sokongan yang diterima daripada pihak yang sebelum ini tidak sehaluan dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang disifatkan sebagai tanda keyakinan terhadap rekod pencapaian dan kemampuan kerajaan negeri yang mentadbir demi kepentingan rakyat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan sokongan berkenaan, khususnya apabila ia diberikan tanpa sebarang syarat.
“Bila ada pihak yang tidak setuju dengan kita tiba-tiba melahirkan sokongan kepada kita,alhamdulillah, terima kasih. Kita mengalu-alukan. Lebih-lebih lagi untuk mereka dengan sendiri datang untuk menyokong kita tanpa syarat, tanpa perundingan, tanpa apa-apa.
“Jadi saya memang alu-alukan dan ucapkan terima kasih kepada mereka. Dan ini juga pada mata saya, pemikiran saya, mereka ada keyakinan kepada Kerajaan Negeri sebab itu mereka menyokong Kerajaan Negeri.
“Mereka tengok track record, mereka tengok apa yang telah kita buat. Dan kita tidak berpolitik sangat, kita terus-terus buat kerja. Kemelut politik di tempat-tempat lain, tapi di Pahang, kita terus buat kerja” katanya.
Tambah beliau, tumpuan Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus menjadi keutamaan.
“Sampai masa, when time’s come, we cross the bridge. Masa ini tumpuan kita kepada rakyat, kesejahteraan rakyat, buat kerja. Kalau kita ada ketidakstabilan politik, masa bila kita nak fokus kepada rakyat?,” katanya.
Menurut beliau, kestabilan politik yang dinikmati Pahang ketika ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri berkenaan.
“Sebagai contohnya kita boleh kutip premium daripada pencawang tersebut dan dalam masa yang sama tanah milik persendirian akan dibayar pempasaran yang sewajarnya.
“Jadi ini memberi keuntungan kepada rakyat Negeri Pahang. Yang pentingnya mereka datang ke Pahang untuk buat projek,” katanya. -PAHANGMEDIA

