Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 25 OGOS 2026 : Kontinjen Pahang mungkin gagal mencapai sasaran 35 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, namun kejayaan mempertahankan kejuaraan dalam acara menembak dan hoki serta kelahiran juara baharu menjadi antara pencapaian positif yang perlu dipertahankan menjelang SUKMA Kelantan 2028.
Ketua Kontinjen Pahang, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin berkata, meskipun sasaran 35 emas tidak dapat direalisasikan, jumlah kutipan pingat Pahang menunjukkan peningkatan berbanding edisi SUKMA sebelum ini.
Menurutnya, lebih membanggakan apabila Pahang masih mengekalkan penguasaan dalam acara menembak dan hoki, selain kejayaan atlet menembak negeri, Cheah Zen Hong dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik SUKMA XXII Selangor 2026.
“Walaupun kita agak kecewa kerana tidak mencapai sasaran 35 pingat emas, bagaimanapun kutipan pingat kita meningkat berbanding siri yang lepas.
“Yang cukup membanggakan, tahun ini kita masih mengekalkan kejuaraan dalam acara menembak dan juga hoki.
“Paling menggembirakan apabila olahragawan atau atlet lelaki terbaik datang daripada Pahang. Ini membuktikan Pahang mampu melahirkan atlet yang mempunyai potensi besar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor 2026, malam tadi.
Mengulas persiapan menghadapi SUKMA Kelantan 2028, YB. Tuan Khaizulnizam berkata, pihaknya bersama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal dan kepimpinan Majlis Sukan Pahang (MSP) akan melakukan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti kelemahan yang berlaku sepanjang penyertaan di Selangor.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan segala kekurangan dapat diperbaiki lebih awal dan Pahang hadir dengan persiapan lebih mantap pada temasya akan datang.
“Untuk SUKMA akan datang, saya bersama YB Exco dan kepimpinan MSP akan meneliti kelemahan yang ada dalam SUKMA 2026 ini untuk diperbaiki.
“Banyak perkara yang perlu kita perbaiki supaya kita lebih bersedia untuk SUKMA 2028 di Kelantan. InsyaAllah, kita boleh mencapai keputusan yang lebih baik nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut yakin kejayaan Zen Hong tidak akan menjadi yang terakhir buat Pahang, sebaliknya negeri itu mempunyai barisan atlet muda berpotensi untuk meneruskan legasi kecemerlangan berkenaan.
Katanya, khususnya dalam sukan menembak, Pahang tidak pernah ketandusan bakat baharu dan mempunyai peluang untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf juara seperti Zen Hong.
“Dalam kalangan atlet Pahang, banyak yang mempunyai potensi. Terutama dalam menembak, memang tidak putus dengan atlet-atlet baharu.
“Tidak mustahil kita boleh lahirkan lebih ramai atlet seperti Zen Hong.
“Banyak juga acara yang kita kuasai sejak tiga atau empat edisi SUKMA lalu dan ini membuktikan Pahang sentiasa melahirkan atlet baharu untuk menjadi juara di peringkat Malaysia dan juga antarabangsa,” katanya.-PAHANGMEDIA

