Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 25 OGOS 2026 : Mantan Pegawai Kewangan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Haji Norzan Haji Ahmad, dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul bagi Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi.
YH. Dato’ Indera Haji Norzan, 72, yang berasal dari Kampung Sanggang, Temerloh dilahirkan pada 16 Januari 1954 dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pahang sebelum bersara pada 2014.
Beliau mengakui tidak menyangka dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai rezeki dan amanah yang diterima dengan penuh kesyukuran.
“Saya memang tidak menyangka dan di luar jangkaan saya. Saya hanya mengetahui tiga atau empat hari sebelum majlis bahawa saya dipilih. Jadi, saya bersyukur atas rezeki dan penghormatan yang diberikan ini.

“Saya anggap ini sebagai satu amanah. Selagi ada kemampuan, saya akan teruskan usaha yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Beliau berkata, pengurniaan anugerah berkenaan bukan sesuatu yang pernah dibayangkan, sebaliknya diterima sebagai satu penghargaan selepas lebih 12 tahun terlibat dalam usaha pendidikan agama dan aktiviti kemasyarakatan.
“Saya tidak pernah terfikir akan menerima anugerah seperti ini. Apa yang saya lakukan selama ini adalah kerana mahu menyumbang kepada masyarakat dan memastikan usaha pendidikan agama dapat diteruskan,” katanya.
Katanya, pengiktirafan itu juga menjadi dorongan untuk beliau terus menyumbang kepada masyarakat khususnya menerusi pendidikan agama, kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan.
Pemilihan beliau sebagai Tokoh Maulidur Rasul merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan serta khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang kerjaya, khususnya dalam perkhidmatan awam dan pembangunan masyarakat.

Selain pengalaman luas dalam pentadbiran negeri, beliau turut dikenali menerusi penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan agama, termasuk usaha mengasaskan sebuah madrasah di Kampung Sanggang sejak 2016.
Beliau berkata beliau kini turut aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan di kampung termasuk program kebajikan, aktiviti warga emas, program anak angkat serta kegiatan yang mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.
Beliau turut merancang menubuhkan sebuah yayasan kebajikan dan pendidikan bagi memastikan kelangsungan madrasah selain membantu pelajar yang memerlukan sokongan untuk meneruskan pengajian.
Pengurniaan anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain Tokoh Maulidur Rasul, turut menerima anugerah adalah Anugerah Ummah kepada Allahyarham Sheikh Haji Hussein Abdul Rahman yang merupakan pengasas Pondok Raudhah Al-Muhibbin, Chenor, Maran; Anugerah Daie kepada Tuan Haji S. Mahdzir S. Nordin; dan Anugerah Pendidikan kepada Encik Mustafa Abdul Jabar. -PAHANGMEDIA

