Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 25 OGOS 2026 : Atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas mempamerkan aksi luar biasa dengan menyumbang sembilan pingat emas dan satu perak kepada kontinjen negeri ini.
Pencapaian berkenaan lebih manis apabila Zen Hong turut mencipta dua rekod baharu temasya menerusi acara 10 meter (m) Air Pistol lelaki final dan 25m Sport Pistol lelaki individu, sekali gus melengkapkan dominasi beliau dalam temasya kali ini.
Anugerah berprestij itu disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor 2026, semalam.
Zen Hong, yang menganggap penampilan kali ini sebagai penutup kariernya di pentas SUKMA, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai sesuatu yang tidak pernah dijangka.
“Memang saya rasa lega sebab boleh kata perjalanan karier saya dekat SUKMA boleh tamat dengan manis-manis. Memang saya tak sangka yang saya boleh dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA 2026, jadi saya memang sangat bersyukur dengan pencapaian ini,” katanya ketika ditemui selepas selepas majlis, di sini semalam.
Kejayaan sembilan emas dan satu perak itu turut menjadi bukti konsistensi atlet berkenaan dalam membantu Pahang mencipta pencapaian membanggakan dalam sukan menembak.

Mengulas masa depan skuad menembak Pahang, Zen Hong berharap kejayaan yang dicapai pada edisi kali ini dapat diteruskan oleh generasi seterusnya bagi memastikan Pahang terus mempertahankan kejuaraan keseluruhan dalam sukan berkenaan.
“Saya harap untuk terutamanya skuad menembak saya boleh meneruskan momentum yang cemerlang bagi dalam SUKMA 2026, dan harap terus boleh kekal juara keseluruhan dalam skuad menembak.
“Saya tak nak letak ‘pressure’ yang sangat besar, tapi saya percaya yang mereka sebenarnya dah bersedia untuk menghadapi segala rintangan yang ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zen Hong mendedikasikan kejayaan tersebut kepada semua yang menjadi penguat sepanjang perjalanan kariernya, terutama ibu bapa, jurulatih, rakan sepasukan dan Kerajaan Negeri Pahang.
“Sudah tentu ia boleh kata sebagai ‘teamwork’, dari segi memang daripada ibu bapa, daripada jurulatih, rakan sepasukan punya sokongan yang cukup padu, dan Negeri Pahang juga yang banyak tolong.
“Jadi ini (anugerah) saya nak ‘dedicate’ pada semua yang sudah tolong saya sepanjang perjalanan ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

