Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
MARAN, 14 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperkukuh agenda perumahan rakyat dengan pemberian subsidi perumahan bernilai kira-kira RM2.8 bilion melibatkan pembinaan 29,000 unit rumah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata berdasarkan harga pasaran semasa kesemua rumah dibina bernilai sekitar RM5 bilion.
“Keseluruhan rumah yang kita buat sehingga kini hampir 29,000 unit rumah. Kalau harga semasanya, pasarannya memang RM5 bilion tetapi kerajaan beri dengan harga RM2.2 bilion, lebih kurang macam itu. Di mana RM2.8 bilion itu adalah merupakan subsidi.

“Sebab sebagai contoh, Rumah Prima Pahang harga dia (jualan) RM150,000, tapi harga sebenarnya RM400,000. Maknanya RM250,000 itu adalah merupakan subsidi Kerajaan Negeri kepada rakyat. Maknanya RM2.8 bilion itu subsidi yang telah kerajaan berikan selama ini untuk rakyat Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan RM140 juta di dalam skim perumahan percuma kepada golongan miskin di negeri ini bagi mengurangkan risiko wujudnya golongan tanpa tempat tinggal.
“Program Kerajaan Negeri pula, banyaklah rumah-rumah, Rumah Rakyat Pahang, Rumah Makmur. Itu dari segi Kerajaan Negeri. Maknanya sekarang program perumahan ini kerajaan sediakan untuk semua lapisan masyarakat.
“Daripada rumah percuma sehinggalah ke rumah macam PRR ini, rumah Makmur, sampai ke rumah PR1MA Pahang yang bernilai hampir RM150,000 itu yang kerajaan buatkan untuk rakyat. Dan ini adalah sebagai agenda yang utama bagi Negeri Pahang sebab kita tidak hendak tengok esok ada gelandangan.
“Hampir 1,400 rumah percuma juga telah kita berikan kepada rakyat Negeri Pahang yang bernilai hampir RM140 juta. RM140 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri yang merupakan satu inisiatif yang sangat baik untuk rakyat Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 42 unit Program Residensi Rakyat (PRR) di Taman Sungai Kemap Indah diserahkan kepada penerima hari ini di mana penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan projek yang mempunyai 100 unit rumah, dengan baki unit akan diserahkan selepas kerja penyiapan termasuk penyelesaian isu keselamatan cerun selesai.
Beliau berkata, Pahang turut dijangka menerima kira-kira 1,000 unit PRR lagi yang akan dilaksanakan secara berperingkat di beberapa lokasi termasuk Bera, Pekan, Jerantut dan Chenor.
“Lokasi itu di Bera sebanyak 500 unit, di Pekan hampir 200 unit, dan yang Jerantut 100, Chenor 100. Yang belum kita beri serahkan. Mungkin Inderapura kita akan serah. Lepas program ini kita buat di Inderapura,” katanya. -PAHANGMEDIA

