Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 14 OGOS 2026 : Kontinjen Pahang membuka tirai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan meraih dua pingat gangsa menerusi acara judo dan taekwondo.
Pingat pertama disumbangkan atlet judo, Muhammad Hafiy Iskandar Hendre dalam kategori bawah 55 kilogram (-55kg), selepas menewaskan wakil Perak dalam perlawanan penentuan gangsa.
Muhammad Hafiy berkata kejayaan itu cukup bermakna kerana ia merupakan penampilan sulungnya di pentas SUKMA, selain pengorbanan yang dilakukan termasuk menurunkan berat badan bagi memenuhi kategori berkenaan.

“Perasaan saya sangat ‘happy’ lah, sebab saya dah banyak berkorban untuk sampai ke SUKMA ini, dengan turun berat semua.
“Jadi saya sangat bangga, walaupun saya dapat bronze. Target saya untuk emas, tapi mungkin saya kena training lebih lagi untuk sampai ke tahap begitu.” katanya ketika ditemui selepas perlawanan yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, di sini hari ini.
Sementara itu, Jurulatih Skuad Judo Pahang, Encik Fakhrul Adam Jose M Cruz @ Fauzi Cruz berkata pasukannya masih mempunyai beberapa perlawanan penting dengan sasaran memburu pingat emas.
“Jadi, untuk esok kita banyak ‘key player’ kita, kita banyak akan lawan pada hari esok. Jadi untuk esok, saya sebenarnya tak sabar dah nak tunggu.
“Jadi, strategi kita mudah sahaja, ‘all the best’… ‘All the best’, buat yang terbaik dan buat sehabis baik lah. Itu saja kita punya strategi. Kita target emas untuk esok,” katanya.
Satu lagi pingat gangsa Pahang disumbangkan atlet taekwondo wanita, Hana Nor Hafiz, yang turut membuat penampilan sulung di SUKMA.
Hana berkata beliau bersyukur dengan kejayaan tersebut, namun masih belum berpuas hati dan mahu memberikan sumbangan lebih besar kepada Pahang pada masa akan datang.
“Saya sangat bersyukur kerana mendapat peluang untuk datang ke sini dan bertanding. Tetapi saya masih belum berpuas hati. Saya rasa saya masih ada lebih banyak yang boleh saya berikan kepada Pahang pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata pengalaman pertama beraksi di SUKMA turut memberi peluang mencipta kenangan bersama rakan sepasukan selain menjadi pengalaman berharga untuk meningkatkan prestasinya.
Sementara itu, Jurulatih Skuad Taekwondo Pahang, Encik Kongpol Koomkrong mengakui sedikit kecewa apabila skuadnya hanya meraih satu pingat pada hari pertama, namun tetap melihat pencapaian itu secara positif.
“ Bagi saya, itu lebih baik daripada tidak mendapat apa-apa. Saya cuba untuk berfikiran positif. Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah kepada Hannah atas pencapaian meraih pingat gangsa,” katanya.
Beliau berkata enam lagi atlet taekwondo Pahang akan beraksi pada hari berikutnya dengan harapan mampu menambah koleksi pingat negeri, sambil menegaskan skuadnya akan terus berjuang demi Pahang.
“Jadi, saya tidak boleh menjanjikan pingat, tetapi saya akan cuba sedaya upaya bersama mereka. Kami akan berjuang bersama-sama. Kami akan berjuang demi Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

