Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mewujudkan zon penampan laluan jalan yang pertama di negara ini bertujuan meminimumkan impak terhadap keselamatan pengguna jalan raya sekiranya berlaku insiden pokok tumbang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim, Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya susulan kejadian pokok tumbang di Jalan Persekutuan FT68 pada 3 Ogos lalu yang mengorbankan empat mangsa dan mencederakan seorang lagi.
“Dalam Mesyuarat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju supaya zon penampan (buffer zone) diwujudkan di sepanjang laluan berkenaan sebagai salah satu langkah penyelesaian bagi menangani risiko pokok-pokok berbahaya di sepanjang jalan.

“Antara perkara yang akan diperhalusi ialah penetapan had ketinggian maksimum pokok dalam zon penampan dengan mengambil kira keadaan tapak, jenis dan keadaan pokok serta jaraknya daripada jalan raya.
“Matlamatnya jelas untuk mengurangkan risiko pokok tumbang dan meminimumkan impak terhadap keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, perkara berkenaan akan diperhalusi secara menyeluruh bersama semua agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Hutan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Pejabat Kewangan Negeri (PKN).
“Semoga usaha ini dapat menghasilkan satu mekanisme yang lebih tersusun, jelas dan berkesan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di negeri Pahang sentiasa terpelihara,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau.
Turut melawat kawasan kejadian pokok tumbang berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan.
Beliau berkata, insiden berkenaan amat menyayat hati dan menjadi peringatan penting kepada semua pihak bahawa aspek keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dipandang ringan. -PAHANGMEDIA

