Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 14 OGOS 2026 : Kontinjen Pahang masih berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran ditetapkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 meskipun sebahagian besar acara yang menjadi sandaran kutipan pingat masih berada di peringkat awal.
Ketua Kontinjen Pahang, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin berkata prestasi atlet setakat ini menunjukkan perkembangan positif dengan beberapa acara sudah mula menampilkan keputusan memberangsangkan untuk mara ke peringkat seterusnya.
Menurutnya, peluang Pahang untuk meraih pingat emas turut terbuka menerusi acara Mountain Bike (Downhill) yang berlangsung hari ini.

“Selepas beberapa acara dijalankan, masih peringkat awal, dan target kita, mungkin hari ini, kita ada satu target yang perlu sekurang-kurangnya satu emas lah untuk Negeri Pahang hari ini bagi acara Mountain Bike Downhill.
“Jadi, itu adalah peluang kita lah untuk mendapatkan pingat emas hari ini. Yang lain masih di peringkat awal. Hari ini di Taekwondo, Judo pun masih di peringkat awal, masih banyak kategori yang perlu dipertandingkan,” katanya ketika ditemui hadir meninjau perlawanan Judo dan Taekwondo bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, di sini hari ini.
Tambahnya, beberapa acara lain seperti silat turut menunjukkan prestasi positif pada peringkat awal.
“Saya yakin yang kita boleh capai sasaran yang diharapkan. Pagi tadi pun dalam acara silat, peringkat awal menunjukkan prestasi yang baik. Banyak kemenangan yang kita capai untuk ke peringkat seterusnya.,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan positif turut dapat dilihat menerusi acara bola sepak lelaki dan wanita yang masih mempunyai peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.
Katanya, walaupun skuad bola sepak lelaki tewas kepada Johor dalam perlawanan semalam, pasukan berkenaan sebelum itu berjaya menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan pertama.
“Dan bola sepak wanita semalam menang dengan Melaka 8-0, sebelum ini draw (seri) dengan Perak 1-1. Jadi malam esok adalah penentuanlah untuk meneruskan ke peringkat seterusnya,” ujarnya.
Beliau berkata, kebanyakan acara yang menjadi sandaran utama kontinjen Pahang untuk menyumbang pingat masih belum bermula atau baru memasuki peringkat awal.
“Jadi, untuk acara-acara ‘favourite’ kita, masih banyak belum dilaksanakan di peringkat awal ini. Cuma hari ini kita mengharapkan satu pingat emas lah daripada Mountain Bike, insyaAllah,”katanya lagi. -PAHANGMEDIA

