Oleh: Nur Saadah Artika & Zeti Akhtar Lokman
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 OGOS 2026 : Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin menjadi pilihan utama industri dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran, sekali gus memperkukuh peranan institusi TVET dalam melahirkan modal insan bagi menyokong pembangunan negeri dan negara.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perubahan landskap industri ketika ini menjadikan kemahiran teknikal dan vokasional semakin diperlukan, sekali gus menepis tanggapan bahawa TVET merupakan pilihan kedua dalam bidang pendidikan.

“Hari ini kita melihat TVET telah berubah wajah. TVET bukan lagi pilihan kedua. Malah dalam banyak keadaan, kemahiran teknikal dan vokasional ini antara perkara yang paling diperlukan dalam industri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan POLISAS sepanjang 50 tahun dalam melahirkan lebih 60,000 graduan yang menjadi tenaga penting kepada pembangunan negeri dan negara.
“Hari ini saya berada di POLISAS, sempena 50 tahun POLISAS. Jadi saya sebut, ramai produk-produk POLISAS ini menjadi tenaga penting dalam pembangunan negara, negeri, dan melahirkan 60,000 pelajar. Dan saya ucapkan syabas dan tahniah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Dewan Sri Mahkota, POLISAS, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pahang turut memberi penekanan serius terhadap pembangunan TVET menerusi Aspirasi Pahang 1st dengan memperuntukkan RM5.5 juta dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh pendidikan dan latihan TVET di negeri ini.
“Sebab itulah Kerajaan Negeri Pahang menerusi gagasan Aspirasi Pahang 1st memberikan penekanan yang serius kepada TVET. Dalam Belanjawan 2026, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM5.5 juta untuk memperkukuhkan pendidikan dan latihan TVET di Pahang ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pelajar POLISAS supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan yang tersedia dengan menjadikan institusi berkenaan sebagai platform membina potensi diri dan menentukan masa depan.
“Jangan lihat POLISAS hanya sebagai tempat untuk mendapatkan diploma, anggaplah POLISAS sebagai tempat untuk membina diri dan menentukan masa depan. Pegang kepada tiga perkara iaitu ilmu yang membentuk cara berfikir, kemahiran yang membuka peluang, dan sahsiah yang menentukan bagaimana menggunakan ilmu serta kemahiran tersebut,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak serta barisan ketua-ketua jabatan -PAHANGMEDIA

