Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
BENTONG, 12 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa tiada perkhidmatan ejen atau orang tengah dilantik bagi menguruskan permohonan geran usahawan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kewujudan ejen atau orang tengah yang menawarkan perkhidmatan membantu usahawan mengemukakan permohonan geran kepada Kerajaan Negeri dengan mengenakan caj tertentu.
“Saya mendengar daripada rentehan, ada ejen atau orang tengah bertemu dengan usahawan untuk bawa permohonan kepada kerajaan negeri dan mereka mengenakan caj.
“Setakat ini telah dimaklumkan ada, dan apabila bertemu dengan pihak kerajaan negeri kita terangkan semula. Jadi, Alhamdulillah dapat kita kekang dari awal, tapi saya nak tegaskan sekali lagi supaya mereka ini tidak terjerat dalam penipuan sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Geran Usahawan Makmur dan Penyerahan Hasil Transformasi Produk Usahawan di bawah SIRIM Technopreneur Enterprise Program (STeP) Tahun 2026 di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.
Menurut beliau, usahawan boleh membuat permohonan secara terus melalui laman sesawang rasmi Kerajaan Negeri Pahang di bawah Sistem Maklumat Usahawan (SMU) Pahang atau mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat di kawasan masing-masing.
“Usahawan boleh mohon secara terus melalui laman web Kerajaan Negeri Pahang di bawah Sistem Maklumat Usahawan (SMU) Pahang dan boleh juga bertemu dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing bagi membantu dalam permohonan ini.
“Permohonan tersebut bergantung kepada kelulusan pihak kerajaan negeri dan mereka akan dapat terus kewangan tersebut tanpa melalui konsultan daripada mana-mana orang tengah ataupun ejen-ejen yang diperkatakan tadi,” katanya. -PAHANGMEDIA

