Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 26 JULAI 2026 : Pembinaan Kolej Komuniti Jelai bernilai lebih RM55 juta yang bakal dibangunkan di Mukim Batu Yon, dekat sini, dijangka siap dalam tempoh satu hingga satu setengah tahun.
Pembinaan kolej berkenaan sekali gus memperluaskan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat luar bandar di kawasan tersebut.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, projek yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) itu akan dimulakan selepas majlis pecah tanah yang berlangsung hari ini.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan saya dengan YAB Menteri Besar, kita telah membuat keputusan di peringkat kementerian dan Kerajaan Negeri untuk meluluskan serta memulakan kerja-kerja pembinaan.

“Pada hari ini, seperti yang dapat kita saksikan, majlis pecah tanah telah diadakan dan saya telah memaklumkan kepada pihak POLYCC untuk memulakan kerja-kerja selepas ini.
“Ia termasuk penyediaan perancangan dan saya berharap pelaksanaannya dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga satu setengah tahun dari sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Jelai yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dataran Santuari Eco Gahai, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau mengesahkan pembinaan Kolej Komuniti Jelai dilaksanakan di bawah RMK-13.
Katanya, pihak kementerian akan terus meneliti keseluruhan kos pembangunan serta perancangan program yang bakal ditawarkan di institusi berkenaan.

“Kita akan melihat dari segi kos secara keseluruhan dan akan terus berbincang dengan YAB Menteri Besar bagi memberi tumpuan kepada bidang-bidang tertentu, termasuk keperluan program yang bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas usaha mempercepatkan kelulusan pembinaan kolej komuniti berkenaan.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi serta YB Menteri kerana telah membantu mempercepatkan kelulusan Kolej Komuniti di Jelai yang telah lama kita usulkan. Hari ini, ia menjadi kenyataan dengan berlangsungnya majlis pecah tanah,” katanya.

Kolej Komuniti Jelai yang merupakan kolej komuniti ke-11 di Pahang bakal menyediakan laluan pendidikan alternatif kepada lepasan sekolah, golongan belia dan komuniti setempat untuk memperoleh kemahiran teknikal yang memenuhi keperluan industri semasa.
Institusi itu dijangka menawarkan program berteraskan agroteknologi dan teknologi pertanian lestari selaras dengan potensi ekonomi daerah Jelai yang berasaskan sektor pertanian dan agromakanan.
Selain mampu menampung sekurang-kurangnya 240 pelajar, kolej komuniti berkenaan turut berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti menerusi latihan kemahiran, Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), keusahawanan, pertanian pintar (smart farming) serta aplikasi Agro 4IR bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi penduduk setempat.
Pembangunan kampus itu juga menyokong Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) yang memberi penekanan kepada pemerkasaan industri agromakanan, pembangunan modal insan berkualiti, transformasi wilayah dan pembangunan ekonomi hijau yang mampan. -PAHANGMEDIA

