Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 25 JULAI 2026 : Pahang mempunyai semua kekuatan untuk muncul sebagai peneraju sektor pertanian negara berikutan pencapaian memberangsangkan yang direkodkan dalam pelbagai subsektor pertanian sekali gus menjadi pemacu penting kepada ekonomi negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada tahun 2024, Pahang muncul sebagai penyumbang kedua terbesar sektor pertanian negara dengan nilai pengeluaran melebihi RM25 bilion, di mana 88 peratus daripadanya disumbangkan oleh subsektor tanaman.

Katanya, sektor pertanian turut menjadi penyumbang kedua terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri apabila menyumbang sebanyak RM15.9 bilion daripada keseluruhan KDNK Pahang yang bernilai RM71 bilion, hanya di belakang sektor perkhidmatan yang mencatatkan RM37.3 bilion.
“Apabila kita bercakap tentang pertanian, Pahang sebenarnya mempunyai kekuatan untuk menjadi peneraju negara.
“Pada tahun 2024, Pahang merupakan penyumbang kedua terbesar sektor pertanian negara dengan nilai pengeluaran melebihi RM25 bilion, dengan 8.8 peratus datang daripada sektor tanaman.

“Malah, berdasarkan nilai KDNK Pahang pada tahun lalu sebanyak RM71 bilion, sektor pertanian turut menyumbang RM15.9 bilion, iaitu sektor kedua tertinggi selepas sektor perkhidmatan,” katanya ketika berucap merasmikan MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta barisan ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, Cameron Highlands terus menjadi kebanggaan negara apabila kekal sebagai pengeluar utama sayur-sayuran berkualiti dengan nilai pengeluaran mencecah RM3.6 bilion.
Katanya lagi, industri kelapa sawit pula kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi pertanian Pahang dengan nilai sebanyak RM14.18 bilion.
Tambahnya, Raub pula telah muncul sebagai jenama bertaraf antarabangsa menerusi pengeluaran durian Musang King yang terkenal sehingga ke pasaran dunia.

“Apabila kita berada di bumi Raub pada hari ini, tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa nama Raub telah menjadi jenama dunia.
“Apabila orang menyebut Musang King, mereka akan mengingati Raub. Apabila orang menyebut Raub, mereka akan mengingati Pahang. Itulah hebatnya jenama Raub yang perlu kita banggakan, pelihara dan bangunkan,” katanya lagi.
Beliau juga memberitahu, Kerajaan Negeri juga sedang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor penternakan termasuk industri Wagyu yang kini mempunyai sebanyak 446 ekor ternakan, selain memperkukuhkan industri tenusu dan ruminan serta memperluaskan penggunaan teknologi moden dalam penternakan.

Selain itu katanya, sektor perikanan dan akuakultur turut mempunyai potensi besar untuk dimajukan menerusi kelebihan sumber semula jadi negeri seperti pantai, sungai dan tasik.
“Semoga MAHA Pahang akan terus menjadi kebanggaan negeri, menjadi pemangkin kepada kemajuan sektor agromakanan dan menjadi bukti bahawa rakyat Pahang sentiasa bersatu dalam membina sebuah negeri yang makmur, lestari dan sejahtera,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

