Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
RAUB, 24 JULAI 2026 : MAHA Pahang 2026 mencatat sambutan luar biasa apabila lebih 25,000 pengunjung direkodkan hadir setakat 6 petang pada hari kedua penganjurannya.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, sambutan yang diterima pada tahun ini jauh lebih menggalakkan berbanding penganjuran terdahulu.

“Semalam tengok di Dataran (Raub) ramai, sini (Taman Tasik Raub) pun lagi ramai sebenarnya. Jadi MAHA Pahang kali ini dilaksanakan besar-besara di Raub ini. Jauh lebih besar daripada edisi pertama tahun lalu.
“Jika tahun lalu Mini MAHA, sekarang MAHA Pahang. Peruntukan yang disediakan atau dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Pahang pun lebih berbanding tahun lalu, dan pengunjungnya pun begitu ramai. Ini adalah acara terbesar yang pernah dianjurkan di Raub.
“Saya difahamkan hari ini sahaja pengunjung dah lebih 25,000. Semalam saya tak tahu berapa ramai. Jadi kita optimis mampu capai (sasaran pengunjung) sebab sebenarnya ramai yang tak imbas QR (kehadiran), ramai datang macam tu je sebab mungkin pintu masuk banyak,” katanya.

Beliau turut menyeru pengunjung yang bakal hadir memeriahkan karnival ini pada keesokkan hari untuk mengimbas kod kehadiran bagi memiliki peluang memenangi cabutan bertuah yang disediakan.
“Jadi mungkin terlepas pandang. Ini saya harap esok kena imbas QR sebab berpeluang untuk menang hadiah cabutan bertuah. Mana tahu kita bawa balik kereta Bezza (hadiah utama).
“Hadiah-hadiah cabutan bertuah yang cukup menarik, kereta Bezza, motosikal, ada lembu Wagyu, tadi saya tengok harga seekor RM50,000, ada barangan elektrik macam-macam, jadi ambillah kesempatan. Kita tengok minat di bahagian mana, boleh fokus kat bahagian tu,” katanya.

Beliau berkata, kemuncak MAHA Pahang 2026 esok akan dimeriahkan dengan kehadiran YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada jam 11 pagi.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti menarik telah disusun termasuk jualan barangan basah pada harga istimewa yang akan ditentukan sendiri oleh YAB. Menteri Besar, pesta makan buah-buahan secara percuma termasuk durian selain cabutan bertuah.
Beliau berkata, MAHA Pahang bukan sekadar medan pameran, malah menjadi platform kepada masyarakat untuk menimba ilmu menerusi pelbagai segmen melibatkan tanaman, ternakan, produk agromakanan, teknologi pertanian moden dan jentera pertanian. -PAHANGMEDIA

