Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
ROMPIN, 24 JULAI 2026 : Penerima Rumah PR1MA Pahang meluahkan rasa syukur dan gembira selepas berjaya memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik disediakan Kerajaan Negeri Pahang yang sebelum ini menjadi impian mereka.
Bagi Puan Norhaidah Ahmad, 38, yang bertugas sebagai Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Keratong 5 dan suami, Encik Mazulizam Mohd Ali Hanafiah, 41, impian memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas hampir dua dekad menunggu.

Katanya, anak-anak turut teruja apabila dapat mempunyai bilik tidur sendiri selepas sebelum ini hanya tidur di ruang tamu memandangkan mereka sekeluarga tinggal bersama ibu dan abang di rumah keluarga.
“Saya sangat gembira dan teruja kerana ini rumah pertama kami. Rasa macam tak percaya sebab sudah lama menunggu. Saya sentiasa memperbaharui permohonan sehingga akhirnya berjaya mendapat rumah ini.
“Anak-anak paling gembira. Dia dapat bilik sendiri sebab sebelum ini tak ada bilik pun dekat sana. Dia orang tidur dekat luar, tidur dekat ruang tamu, kita orang je lah yang ada bilik,” katanya.
Norhaidah berkata, beliau bersama suami yang bekerja sebagai mekanik di Melaka serta dua orang anak berusia 12 dan lapan tahun tidak sabar untuk berpindah masuk sebaik kerja-kerja pemasangan kabinet dan penyediaan bilik anak-anak selesai.
Mereka turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas inisiatif yang cukup membantu mereka untuk memiliki rumah pertama mereka.
“Saya nak ucap terima kasih untuk Kerajaan Negeri sebab buat projek macam ni. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy sebab adakan rumah PR1MA ni dengan harga yang mampu milik.
“Terima kasih jugalah kepada LPHP kerana sediakan skim rumah Pahang ni sebab harga dia, kalau kita compare memang berpatutan. Jauh beza dengan negeri-negeri lain pun. Memang harga dia mampu milik untuk kita B40. Harap dapat dapat teruskan untuk selama-lamanya bagi membantu orang-orang Pahang,” katanya.
Bagi pasangan Encik Mohamad Ubaidy Ashari, 45, dan Puan Norsuzyla Mashuri, 44, rumah PR1MA Pahang ini merupakan rezeki mereka memandangkan mereka sebelum ini pernah menerima tawaran bagi perumahan Fasa 1 tetapi terpaksa ditolak disebabkan pandemik Covid-19 pada ketika itu.

“Teruja lah. Kami sangat bersyukur sebab ini rumah pertama, kan? Jadi kita mestilah teruja. Masa mula-mula tu, kita mohon juga Fasa 1 tapi masa tu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi kita macam tak berani nak teruskan.
“Kemudian bila dibuka Fasa 3, dia tawarkan semula. Dia hantar surat kat rumah, dia tawarkan semula. Jadi kita mohonlah. Alhamdulillah, lulus.
“Ini merupakan rumah pertama kami dan kami sangat bersyukur akhirnya dapat memberikan tempat tinggal yang lebih selesa kepada anak-anak,” kata pasangan yang tinggal menyewa di Keratong 10 sejak 2019 ini.
Encik Mohamad Ubaidy yang bekerja dalam sektor logistik di Shah Alam, Selangor menyifatkan harga rumah yang ditawarkan Kerajaan Negeri Pahang jauh lebih rendah berbanding projek perumahan di negeri lain, khususnya Selangor yang menurutnya mencecah RM250,000 dan ke atas bagi kediaman yang setara.
Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat meneruskan pelaksanaan Skim Rumah PR1MA Pahang bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat, khususnya golongan muda dan berpendapatan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.
“Kalau ada peluang, mohonlah rumah PR1MA Pahang. Program seperti ini sangat membantu rakyat kerana harga rumah semakin meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Bagi Puan Rossyatka a/p Teor Bak Song, 27, dari Kampung Runcang melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana menyediakan skim perumahan yang sangat membantu golongan muda sepertinya.

“Terima kasih Kerajaan Negeri sebab sediakan rumah yang mampu milik ini. Sebab bagi saya, sebab saya pun kerja baru dekat empat tahun, jadi macam kalau nak rumah yang ni macam belum mampu lah bagi saya.
“Tapi kalau rumah ni, saya apply hari tu dah dapat, jadi saya macam gembira lah. Terima kasih sebab sediakan rumah yang mampu milik untuk semua orang, siapa-siapa boleh,” kata guru SK Labung ini. -PAHANGMEDIA

