Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 23 JULAI 2026 : MAHA Pahang 2026 yang berlangsung di Raub menghimpunkan lebih 100 pameran melibatkan usahawan, agensi kerajaan serta pemain industri pertanian dan agro, sekali gus menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung.
Menurut Timbalan Pengarah Pengembangan Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Encik Jusri Yusop, penganjuran pada kali ini membawakan konsep lebih menarik menerusi penambahan pameran hasil pertanian dan aktiviti interaktif yang memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.

“Kali ini kita bawakan sesuatu yang berbeza berbanding tahun lepas dengan mengetengahkan lebih banyak hasil-hasil pertanian. Tahun lepas kita bawakan lembu Wagyu, tetapi tahun ini bukan sahaja dipamerkan, malah pengunjung turut berpeluang merasai sendiri daging lembu Wagyu pada waktu-waktu tertentu.
“Pada masa yang sama, kita turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan memancing, tunggangan ATV, teka berat buah dan pelbagai lagi. Jadi, kita amat mengalu-alukan orang ramai untuk hadir memeriahkan MAHA Pahang tahun ini,” katanya ketika ditemui di MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub, hari ini.

Tambahnya, MAHA Pahang 2026 kali ini menampilkan tiga zon utama yang boleh dikunjungi orang ramai secara percuma, dengan setiap zon menawarkan tarikan dan pengisian yang berbeza.
Menurutnya, Zon A menempatkan pelbagai pameran berkaitan sektor pertanian, agropelancongan dan inovasi, manakala Zon B memberi tumpuan kepada industri perikanan. Sementara itu, Zon C pula menampilkan pameran haiwan bagi memberi pengalaman lebih dekat kepada pengunjung.

Suasana sekitar hari pertama MAHA Pahang 2026 yang berlangsung dengan meriah di Dataran Raub.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa pihak penganjur telah menyediakan tram bagi memastikam keselesaan dan kelancaran pergerakan pengunjung sepanjang program tersebut berlangsung.
“Untuk menjamin keselesaan pengunjung, kita sediakan lima tram dan pengunjung tidak perlu risau sebab jangka masa tram untuk ke setiap destinasi tidak mengambil masa yang lama dalam 15 minit ke 20 minit,” katanya.
MAHA Pahang 2026 berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 Julai 2026 di Dataran Raub, Raub, dengan menghimpunkan pelbagai pameran, aktiviti dan jualan berasaskan sektor pertanian, agro makanan, perikanan, penternakan serta inovasi. -PAHANGMEDIA

