Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 JULAI 2026 : Majlis Sukan Pahang (MSP) memberi tumpuan kepada aspek pengurusan latihan berprestasi tinggi serta kebajikan atlet bagi memastikan kontinjen negeri berada pada tahap terbaik menjelang temasya SUKMA.
Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar berkata, fokus utama sepanjang tempoh persiapan adalah memastikan atlet dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap latihan dan pertandingan tanpa dibebani perkara lain yang boleh menjejaskan prestasi.
Menurutnya, MSP memberi penekanan kepada penyediaan sokongan menyeluruh meliputi sains sukan, pemakanan, fisioterapi, psikologi sukan, pengurusan data prestasi serta penyelarasan logistik sepanjang tempoh persiapan dan pertandingan.
“Kami mahu setiap atlet turun ke gelanggang dalam keadaan benar-benar bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui bagi mengulas persiapan kontinjen Pahang menghadapi SUKMA Selangor XXII 2026.
Mengulas mengenai pembentukan atlet, beliau berkata sasaran pingat sememangnya penting, namun usaha melahirkan atlet yang berdisiplin, berintegriti dan mempunyai jati diri yang tinggi turut menjadi keutamaan.
Katanya, setiap atlet perlu membawa nama Pahang dengan penuh rasa tanggungjawab, menghormati pihak lawan, mematuhi semangat kesukanan serta sentiasa memberikan aksi terbaik.
“Nilai-nilai inilah yang akan melahirkan atlet bukan sahaja cemerlang dalam sukan, malah menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap semua atlet dan jurulatih yang bakal menggalas cabaran di SUKMA dapat memberikan komitmen sepenuhnya serta mengekalkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan.
“Harapan saya kepada atlet dan jurulatih ialah agar mereka memberikan komitmen tertinggi serta semangat juang yang tidak pernah luntur demi mengharumkan nama Pahang,” katanya.
Pada edisi kali ini, Pahang mempertaruhkan cabaran dalam 37 jenis sukan sepanjang temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Julai ini di Selangor. -PAHANGMEDIA

