Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 22 JULAI 2026 : Program Ziarah Kasih yang dianjurkan oleh Dewan Negeri Pahang terus memperkukuh nilai persahabatan dan kemanusiaan dalam kalangan pemimpin serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus membuktikan bahawa perbezaan fahaman politik bukan penghalang untuk mengekalkan hubungan silaturahim yang erat.
Program yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsuddin itu melibatkan kunjungan ke tiga bekas wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Negara yang juga Mantan ADUN Triang, YH Dato’ Leong Ngah Ngah; mantan ADUN Bukit Ibam, YH Dato’ Haji Mohd Sahfri Ab Aziz; dan mantan ADUN Damak, YH Dato’ Lau Lee.
Menurut beliau, hubungan persahabatan dan nilai kemanusiaan perlu sentiasa diutamakan berbanding kuasa kerana jawatan dan kedudukan hanyalah bersifat sementara.
“Bagi saya, nilai persahabatan dan kemanusiaan adalah lebih tinggi daripada kuasa kerana kuasa sifatnya sementara,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Leong Ngah Ngah yang kini merupakan Ahli Dewan Negara berkata, program seumpama itu merupakan satu inisiatif yang amat bermakna kerana belum pernah dilaksanakan sepanjang beliau berkhidmat sebagai ADUN selama enam penggal.
“Saya rasa program ini sangat bagus kerana tidak pernah dilaksanakan sepanjang enam penggal saya menjadi ADUN. Ini kali pertama Speaker Dewan Negeri Pahang mengambil inisiatif melawat setiap bekas ADUN.
“Sekurang-kurangnya hubungan antara kami tidak terputus. Pahang mempunyai budaya politik yang sangat baik kerana walaupun berlainan parti, persahabatan tetap kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, YH Dato’ Haji Mohd Sahfri menyifatkan Program Ziarah Kasih sebagai satu usaha yang cemerlang dalam memastikan hubungan silaturahim antara bekas wakil rakyat terus terpelihara.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja membolehkan perkembangan bekas ADUN diketahui, malah wajar dijadikan panduan pada masa hadapan, khususnya dalam aspek kebajikan mereka.
“Kadang-kadang saya rasa program ini seperti Jejak Kasih kerana nilai persahabatan antara kami masih terus terjalin,” katanya.

Bagi Dato’ Lau Lee pula, beliau menyifatkan program berkenaan sebagai satu penghargaan yang amat bermakna kepada bekas wakil rakyat.
Katanya, sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau telah melalui pentadbiran tiga Speaker Dewan Negeri Pahang, namun ini merupakan kali pertama program seumpama itu dilaksanakan.
“Apabila sudah bersara, agak sukar untuk berhubung secara terus dengan mereka yang masih berkhidmat kerana bimbang mengganggu urusan mereka.
“Dengan adanya program ini, hubungan persahabatan dapat diteruskan dan menjadi lebih rapat,” katanya.
Program Ziarah Kasih Dewan Negeri Pahang itu mencerminkan komitmen institusi Dewan Negeri Pahang dalam membuktikan bahawa perbezaan ideologi politik bukanlah penghalang untuk terus menyemai nilai persahabatan, kemanusiaan dan saling menghormati demi kepentingan negeri.

