Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 17 JULAI 2026 : “Terima kasih Tok Wan sebab bagi sumbangan ini. Kalau ada lagi, bagi lagi. Terbaik Tok Wan.”
Itu luahan ringkas namun penuh makna daripada Marina a/p Hasan, 31, antara penerima sumbangan Program Bakti Negeri (BN) yang dizahirkan sejurus menerima bantuan yang disampaikan kepada masyarakat Orang Asli di DUN Pelangai.

Marina berkata, beliau berasa gembira apabila terpilih menerima sumbangan berkenaan yang disifatkannya amat bermakna buat mereka.
Program Bakti Negeri yang diilhamkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dilaksanakan bagi menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya masyarakat Orang Asli.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam, yang mewakili Menteri Besar Pahang. Beliau berkata, Bentong dipilih sebagai daerah pertama bagi pelaksanaan Program Bakti Negeri sebelum diperluaskan ke daerah-daerah lain di seluruh negeri.
“Daerah Bentong merupakan lokasi pertama pelaksanaan program ini dan ia akan diteruskan ke daerah-daerah lain bagi memastikan lebih ramai rakyat yang memerlukan menerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata, bagi DUN Pelangai, seramai 291 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada tiga kampung iaitu Kampung Ulu Semei, Kampung Sungai Bot dan Kampung Sungai Gapoi menerima sumbangan menerusi program tersebut.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Ridwan Abdul Karim, 39, berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban masyarakat Orang Asli, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya Menteri Besar Pahang, kerana sentiasa prihatin terhadap masyarakat Orang Asli. Semoga bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai yang mendapat manfaat,” katanya. -PAHANGMEDIA

