Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 16 JULAI 2026 : Mahkamah Rayuan hari ini secara sebulat suara menolak kesemua lima rayuan yang difailkan oleh Berjaya Hills Resort Berhad dan Ors terhadap Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, sekali gus mengesahkan tindakan Kerajaan Negeri Pahang menyemak kadar cukai tanah adalah sah di sisi undang-undang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu turut mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum ini serta membuktikan bahawa segala tindakan Kerajaan Negeri dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Kerajaan Negeri Pahang menghormati proses perundangan dan melihat keputusan ini sebagai satu pengesahan bahawa setiap tindakan yang diambil dibuat berlandaskan undang-undang, mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan serta berpaksikan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh YA Datuk Ravinthran a/l N. Paramaguru bersama YA Dato’ Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan YA Dato’ Dr. Choo Kah Sing memutuskan bahawa kuasa menetapkan, menyemak dan meminda kadar cukai tanah merupakan kuasa eksklusif Pihak Berkuasa Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara.
“Keputusan Mahkamah Rayuan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah bertindak sewenang-wenangnya dalam melaksanakan dasar pentadbiran. Sebaliknya, setiap keputusan dibuat dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan hak dan hasil negeri terus dipelihara demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya lagi.
Dalam prosiding rayuan berkenaan, Kerajaan Negeri turut memohon kos sebanyak RM500,000 bagi kesemua lima rayuan. Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah memerintahkan pihak perayu membayar kos sebanyak RM100,000 kepada Kerajaan Negeri.
YAB Menteri Besar Pahang juga turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang yang diketuai oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bersama pasukan perundangan negeri, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong serta semua pihak yang terlibat dalam mempertahankan kepentingan Kerajaan Negeri sepanjang prosiding tersebut.
Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan hak-hak Negeri Pahang melalui saluran perundangan serta memastikan setiap dasar dilaksanakan berlandaskan Perlembagaan, undang-undang dan tadbir urus yang berintegriti.
“Kerajaan Negeri akan terus komited mempertahankan hak-hak Negeri Pahang melalui saluran undang-undang serta memastikan setiap dasar yang dilaksanakan sentiasa berlandaskan Perlembagaan, undang-undang dan prinsip tadbir urus yang berintegriti,” katanya. -PAHANGMEDIA

