Oleh : Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 15 JULAI 2026 : “Saya tak keluarkan duit walau seringgit pun untuk rumah ini, semuanya bantuan. Memang rasa macam mimpi.”
Demikian luahan seorang penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP), Puan Noranisah Yaakob, 44, yang akhirnya memiliki kediaman sendiri selepas bertahun-tahun menyewa bersama keluarganya.
Menurut Puan Noranisah, sepanjang tempoh perkahwinannya, dia dan suami tidak pernah berpeluang memiliki rumah sendiri berikutan kekangan kewangan, malah pendapatan keluarga hanya cukup untuk menampung keperluan harian.
“Bila dapat rumah ini, rasa macam yang paling ‘best’ sekali, yang paling berharga sekali sebab memang kita tidak mampu untuk bina rumah sendiri,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian kunci rumah RRP sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di Kompleks Teratai Pekan Padang Tengku, di sini hari ini.

Puan Noranisah merupakan antara 25 penerima rumah RRP membabitkan tiga DUN di daerah ini yang menerima kunci rumah masing-masing disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Long serta barisan pimpinan setempat.
Menurut Puan Noranisah, dia yang bekerja sebagai pekerja am ladang di Felcra, manakala suaminya hanya melakukan kerja-kerja kampung, sememangnya tidak berkemampuan untuk membina rumah sendiri.
“Pendapatan itu cukup untuk keperluan harian sahaja, tetapi kalau untuk bina rumah memang tidak mampu. Saya sangat bersyukur dan terharu dengan bantuan ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Menteri Besar Pahang, YB kawasan saya, Tok Empat kampung dan semua pihak yang banyak membantu keluarga saya sehingga akhirnya saya dapat memiliki rumah ini. Saya memang sangat berterima kasih,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima RRP, Puan Hariyati Baalya, 40, berkata pemberian rumah tersebut memberi sinar baharu kepada keluarganya selepas sekian lama menetap di rumah kedai.
“Sebelum ini kami lama tinggal di rumah kedai. Apabila YB datang ke kampung dan memaklumkan mengenai bantuan ini, alhamdulillah kami terima dengan penuh kesyukuran,” katanya.
Menurut Puan Hariyati, rumah baharu itu bakal memberikan keselesaan kepada ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang serta kehilangan sebelah kaki akibat komplikasi diabetes, selain dirinya sendiri yang turut berdepan masalah kesihatan sama.
Katanya, sebelum ini keluarganya pernah berusaha untuk membina rumah sendiri, namun hasrat tersebut tidak dapat diteruskan berikutan keadaan kesihatan dirinya selain kekangan kewangan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, MB, YB dan semua yang terlibat. Saya memang sangat bersyukur dan rasa amat bertuah dengan rezeki yang diberikan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

