KUANTAN, 15 JULAI 2026 : Empat jabatan Kerajaan Negeri Pahang mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah Sijil Unggul Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) 2026 daripada Institut Integriti Malaysia (IIM).
YAB Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jabatan yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Majlis Kesultanan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Majlis Kesultanan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang atas kejayaan menerima Anugerah Sijil Unggul Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) 2026 daripada Institut Integriti Malaysia (IIM).
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dalam mengamalkan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada organisasi yang terlibat, malah turut mengangkat imej perkhidmatan awam Negeri Pahang di peringkat nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
SPINE merupakan mekanisme penilaian komprehensif bagi mengukur tahap integriti sesebuah organisasi melalui pelbagai aspek termasuk kepimpinan, tadbir urus, pengurusan risiko rasuah, kawalan dalaman, pematuhan terhadap peraturan serta keberkesanan pelaksanaan inisiatif integriti.
Sebanyak 37 organisasi sektor awam dari seluruh negara menerima pengiktirafan tersebut yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa meletakkan integriti sebagai asas utama dalam setiap dasar dan pelaksanaan pentadbiran.
Katanya, kepercayaan rakyat hanya dapat diperkukuhkan sekiranya seluruh jentera pentadbiran berpegang teguh kepada prinsip amanah, ketelusan dan akauntabiliti.
“Seiring dengan aspirasi Pahang 1st, kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh budaya integriti, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap amanah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan beretika,” jelasnya. -PAHANGMEDIA

