RAUB, 15 JULAI 2026 : Seorang lelaki didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini selepas mengaku bersalah membersihkan tanah Kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran yang sah untuk tujuan pertanian di Pos Terisu, Cameron Highlands, awal tahun lalu.
Tertuduh, Sathis A/L Ratenom, 29, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Noor Zaihan Mohamad Ali.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM80,000, dan sekiranya gagal membayar, tertuduh boleh dipenjarakan selama lapan bulan.
Dalam prosiding sama, sebuah jengkaut yang digunakan dalam aktiviti pembersihan tanah tersebut telah dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui pihak pendakwaan.
Kes ini melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana membersihkan tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati membersihkan kawasan tanah kerajaan yang dianggarkan seluas 0.101 hektar dengan menggunakan sebuah jengkaut bagi tujuan pertanian tanpa sebarang permit sah.
Tangkapan dilakukan oleh Pasukan Cameron Highlands Transformation Taskforce (TTF) bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 14 Januari 2025 ketika rondaan di kawasan tersebut.
Siasatan lanjut mendapati kawasan yang dibersihkan itu merupakan tanah Kerajaan Negeri Pahang dan tidak pernah diluluskan untuk sebarang aktiviti pembangunan atau pertanian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi, bersama Taqiuddin Azizan dan Noor Shazana Ghani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -PAHANGMEDIA

