Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 14 JULAI 2026 : Institusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu terus diperkemas sebagai medium penting yang menghubungkan pihak sekolah dengan ibu bapa dalam usaha memperkasakan kecemerlangan pendidikan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PIBG merupakan platform terbaik untuk guru dan ibu bapa bertukar pandangan, cadangan serta idea bagi menambah baik pembangunan sekolah dan pencapaian murid.
“PIBG ini perlu kita perkemaskan kerana ia adalah satu platform untuk ibu bapa dan guru bertukar fikiran, memberi cadangan dan pandangan supaya kita dapat menambah baik lagi sekolah serta kecemerlangan anak-anak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Seri Bentong kali ke-29 di SMK Seri Bentong, di sini, hari ini.

Beliau turut berkata sumbangan Kerajaan Negeri dapat membantu sekolah memperbanyakkan aktiviti dan program yang menyumbang kepada kecemerlangan murid.
“Dengan adanya sumbangan daripada Kerajaan Negeri kepada sekolah, mereka boleh menambah aktiviti dan melaksanakan pelbagai program agar anak-anak kita menjadi lebih cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Pahang turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada PIBG SMK Seri Bentong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.

YAB Menteri Besar Pahang turut menyatakan rasa gembira dapat hadir ke sekolah berkenaan buat kali kedua dan menyifatkan suasana serta komitmen seluruh warga sekolah berada pada tahap yang amat membanggakan.
“Alhamdulillah, sambutannya begitu baik. Sekolah ini mempunyai persekitaran yang baik, guru-gurunya bagus, pengetuanya juga bagus, begitu juga ibu bapanya. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB Tuan V. Arumugam Veerappa Pillai serta barisan ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

