Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 11 JULAI 2026 : Sambutan Festival Belia Pahang 2026 menghimpunkan golongan belia menerusi 56 acara yang melibatkan pelbagai pengisian merangkumi sukan, rekreasi, teknologi serta pembangunan potensi diri.
Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud, penganjuran festival berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat yang hadir bagi menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
“Alhamdulillah, kalau kita lihat pada sambutan hari ini, orang berada di mana-mana tempat. Jadi ini satu petanda yang sangat baik, memenuhi hasrat dan harapan kita supaya fasiliti sukan yang disediakan dapat memberi manfaat kepada seluruh warga Pahang.

“Sebanyak 56 acara disediakan untuk dinikmati bersama, dan kejayaan sesuatu program bukan hanya bergantung kepada perancangan penganjur, tetapi juga sokongan serta penyertaan masyarakat.
“Saya rasa bukan setakat Festival Belia Pahang itu sendiri, tetapi seluruh rakyat Negeri Pahang sangat menanti ataupun teruja untuk melihat sendiri satu monumen baru di Kuantan iaitu Kompleks Belia dan Sukan Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Festival Belia Pahang 2026 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Pahang, di sini, hari ini.

Tambahnya, penganjuran festival tersebut turut memberi pendedahan kepada golongan belia terhadap perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik dan inovasi digital, di samping pengisian berbentuk aktiviti sukan dan rekreasi.
Katanya, aktiviti seumpama itu mampu membuka ruang kepada golongan belia untuk meneroka minat, meningkatkan pengetahuan serta mengambil peluang terhadap pelbagai bidang pengajian dan kerjaya yang ditawarkan.
“Jadi bila adanya aktiviti-aktiviti seperti ini ianya boleh membuka ruang minat kepada belia-belia untuk sama ada belajar ataupun mengambil peluang pekerjaan yang disediakan.
“Kita bawakan Bateriku dan Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk mereka tahu ada peluang dan ruang yang disediakan oleh Kerajaan,” katanya.

Di samping itu, beliau mengharapkan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang akan terus menyinari Bandaraya Kuantan selain berperanan sebagai pusat sehenti yang menyediakan ruang dan kemudahan kepada golongan belia menjalankan pelbagai aktiviti.
“InsyaAllah, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang akan terus menyinari Bandaraya Kuantan dan menjadi pusat sehenti untuk belia-belia melakukan aktiviti.
“Dalam masa terdekat, kita akan muat naik di laman web untuk sebarang pertanyaan dan maklumat serta kadar sewa untuk kita sama-sama menggunakan fasiliti di kompleks ini,” katanya.
Festival Belia Pahang 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai 2026 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

