Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
BERA, 11 JULAI 2026 : Program Anggun Suri Peringkat Parlimen Bera terus mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 13 pasangan pengantin baharu diraikan menerusi inisiatif berkenaan, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu golongan yang baru mendirikan rumah tangga.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, sambutan terhadap program tersebut semakin positif berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila jumlah permohonan yang diterima melebihi kuota yang disediakan.

Menurut beliau, setiap permohonan yang diterima perlu melalui proses saringan bagi memastikan peserta yang dipilih benar-benar memenuhi syarat ditetapkan.
“Alhamdulillah, hari ini kita mengadakan majlis Anggun Suri untuk Parlimen Bera dan seperti biasa, seperti dua tahun yang lepas, sambutan yang berita menggalakkan dan rata-rata pengantin dan keluarga mengucapkan terima kasih lah kepada Kajian Negeri Pahang, lebih-lebih lagi kepada Menteri Besar kita, Tok Wan.
“Dan untuk tahun ini, Bera menampilkan 13 pasangan pengantin yang mana setahun lepas kita buat sepatutnya 10, tapi kita buat 7, so kita bawa ke pertahunan ini,” katanya.
Sementara itu, pasangan pengantin Nor Hidayat Norazman dan isteri, Nur Syazwiena Natriesha Abd Latif dari Triang Maju berkata, mereka mengetahui mengenai Program Anggun Suri hasil makluman daripada ahli keluarga yang menggalakkan mereka menyertai program berkenaan.
“Sebenarnya benda ni (program ini) daripada family juga, dia (keluarga) bagi tahu lah yang ada suruh sertai tiba-tiba dapat.
“Saya nak ucap terima kasih untuk kerajaan negeri, Dato’ Sabariah untuk program ni sebab dapat bantu kita orang, terima kasih juga untuk Tok Wan sebab bagi sumbangan ni,” katanya.
Bagi pasangan pengantin Khairul Azri Sahak dan Nur Maisarah Mohd Yusairi pula, inisiatif tersebut wajar diteruskan kerana mampu membantu golongan muda memulakan kehidupan berkeluarga dengan lebih terancang.
“Program ini banyak membantu kami yang muda-muda inilah sebab ada yang dah kumpul duit semua, duit itu boleh kita buat untuk lepas kahwin nanti kan,” katanya.
Program Anggun Suri bukan sahaja membantu meringankan beban kos perkahwinan, malah memberi pendedahan kepada pasangan mengenai pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri Pahang kepada rakyat bermula daripada alam perkahwinan sehinggalah ke fasa kehidupan yang seterusnya. -PAHANGMEDIA

