Oleh : Norhafizan Zulkifl
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 07 JULAI 2026 : Kerajaan Persekutuan hari ini mengumumkan tujuh inisiatif khas membabitkan peruntukan bernilai RM2 bilion bagi memperkasa kebajikan, kesejahteraan dan masa depan warga FELDA sempena sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak di sini.
YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua inisiatif itu memberi manfaat secara langsung kepada peneroka, generasi baharu FELDA, petugas serta komuniti di 317 tanah rancangan di seluruh negara, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan menunaikan janji kepada warga FELDA.
Katanya, inisiatif pertama memberi tumpuan kepada isu pembayaran balik pinjaman Sukuk termasuk penghapusan hutang peneroka dengan penyediaan geran sebanyak RM990 juta.
“Yang kedua, sekarang ini lebih kurang 8,000 unit rumah yang telah siap dibina, yang di atas satu lot ini, yang telah diduduki sejak 31 Disember 2025. Jadi, dengan ini, saya akan umumkan, sementara lulus akta dan sebagainya, kita luluskan supaya kebenaran diluluskan serta-merta, supaya utiliti air dan elektrik disambung segera. Bekalan air, urusan negeri. Tapi, Lembaga Elektrik Negara telah diarah untuk menyegerakan pemasangan paip elektrik untuk semua 8,000 rumah yang dimasukkan tadi,” katanya ketika berucap bagi merasmikan sambutan terbabit, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBHG. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Tambahnya, inisiatif ketiga pula melibatkan pemerkasaan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) dengan kelulusan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan projek-projek perumahan yang terbengkalai, selain memastikan semua projek dipantau secara berkala bagi mengelakkan kelewatan berulang.
“Banyak hal yang berlaku kelewatan kerana perancangan tidak teratur, pemantauan tidak berkesan dan saya dah minta pengurusan teliti tiap projek ini dan bagi laporan dalam tempoh dua bulan,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan turut meluluskan tambahan RM20 juta di bawah Projek Sentuhan Kasih FELDA (SKF) bagi menyiapkan dua projek yang kini berada pada tahap kemajuan antara 60 hingga 70 peratus, selain mempercepat penyelesaian isu Lot Generasi FELDA (LGF) menerusi kerjasama erat dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan keputusan kerajaan mengembalikan model asal penjualan minyak sawit mentah sebelum penyenaraian FGV bagi meningkatkan keuntungan kilang sawit dan memulihkan pulangan kepada Koperasi Permodalan FELDA (KPF), sekali gus dijangka memberi manfaat tambahan sebanyak RM42 juta kepada warga peneroka.
“Keempat, bagaimana tentang petugas FELDA? Ramai yang menyatakan betul peneroka penting, petugas pun penting. Oleh itu, selain daripada menzahirkan penghargaan kepada semua petugas FELDA yang telah bertungkus-lumus menunaikan tanggungjawab mereka, dan menjamin kebajikan mereka terbela dan moral dan semangat disiplin kerja mereka itu bertambah baik, dengan ini saya umumkan peruntukan besar berjumlah RM450 juta untuk membiaya baik pulih dan bina baru rumah petugas FELDA di tanah rancangan,” katanya lagi.
Mengulas aspek pendigitalan, YAB. Dato’ Seri Anwar berkata, kerajaan meluluskan RM15.85 juta bagi memperkukuh infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI) di 317 rancangan FELDA menerusi kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, termasuk penambahbaikan capaian internet melalui inisiatif Pelan Jaringan Digital Negara (JENDELA).
Beliau berkata, aspek pendidikan turut diberi perhatian apabila kerajaan meluluskan RM10 juta bagi membaik pulih 269 sekolah rendah dan 101 sekolah menengah di kawasan FELDA, sekali gus memastikan kemudahan pendidikan lebih selesa kepada anak-anak peneroka.
“Ketujuh, pendidikan dah ada, kerja dah ada, barang dah dijual. Kesihatan bagaimana, kesihatan? Maka pada tahun lepas, saya telah meluncurkan pasukan kesihatan Skuad MAYA FELDA, melahirkan 1,556 orang ahli sukarelawan daripada kalangan peneroka. Bagi memastikan ikhtiar murni ini berhasil dan diperkasa, saya dengan ini mengumumkan bantuan tambahan untuk skuad MAYA FELDA sebanyak RM3 juta,” ujarnya.
Beliau juga berkata, keseluruhan tujuh inisiatif yang diumumkan itu membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh ekosistem FELDA secara menyeluruh, bukan sahaja melalui dasar, malah menerusi pelaksanaan projek dan peruntukan yang memberi manfaat terus kepada peneroka, generasi baharu serta seluruh warga FELDA. -PAHANGMEDIA

