Oleh : Norhafizan Zulkilfi
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 07 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk melantik seorang wakil Kerajaan Negeri sebagai anggota Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad.
Perkara tersebut disuarakan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA bertempat di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini hari ini.
Katanya, penyertaan wakil Kerajaan Negeri Pahang dalam lembaga pengarah FGV diyakini mampu memperkukuh penyelarasan dasar, mempererat kerjasama strategik serta memastikan kepentingan peneroka dan pembangunan negeri terus diberi perhatian secara menyeluruh.
“Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya mengambil kesempatan untuk mengemukakan satu perkara yang kami harap mendapat pertimbangan sebaik-baiknya daripada YAB Dato’ Seri.
“Kami ingin memohon jasa baik YAB Dato’ Seri untuk mempertimbangkan pelantikan seorang wakil Kerajaan Negeri Pahang dalam Lembaga Pengarah FGV Holding Berhad, memandangkan Kerajaan Negeri Pahang merupakan pemegang saham FGV.

“Penyertaan wakil Kerajaan Negeri Pahang juga diyakini akan memperkukuh penyelarasan dasar, mempererat kerjasama strategik serta memastikan kepentingan peneroka dan pembangunan negeri terus diberi perhatian secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, YB. Dato’ Amizar Abu Adam sebagai wakil Kerajaan Negeri Pahang dalam Lembaga FELDA.
“Pelantikan ini amat kami hargai dan mencerminkan semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” katanya lagi.
Menyentuh tentang sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA yang dirasmikan YAB Dato’ Sri Anwar, YAB. Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy beranggapan pemilihan Bandar Tun Abdul Razak Jengka sebagai bertepatan.
“Di bumi inilah tersimpan sejarah keberanian sebuah negara yang berani bermimpi besar. Daripada belantara yang sunyi, lahirlah sebuah bandar yang menjadi lambang kejayaan dasar pembangunan luar bandar dan kebangkitan ekonomi rakyat,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut dihadiri YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBHG. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

