Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 5 JULAI 2026: Kerajaan Negeri Pahang menambah peruntukan sebanyak RM500,000 bagi program pembangunan sukan bola jaring sebagai usaha memperkukuh lagi ekosistem sukan tersebut di negeri ini.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, tambahan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan sukan berkenaan khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Kedudukan kewangan negeri membolehkan kita menyalurkan tambahan peruntukan ini. Kerajaan Negeri Pahang membelanjakan secara berhemah dengan memberi keutamaan kepada kebajikan, riadah, sukan, pendidikan dan pelbagai aspek lain, termasuk kemungkinan memperkasa sukan tradisional seperti gasing pada masa akan datang.
“Saya berharap dengan tambahan peruntukan ini, kejohanan bola jaring akan lebih meriah sekali gus dapat menarik minat lebih ramai anak muda untuk aktif dalam sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Liga Bola Jaring Perdana Pahang 1st Piala YAB Menteri Besar Pahang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), hari ini.
Turut hadir isteri beliau, YABhg Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Burhah Mohammed; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; serta Presiden Persatuan Bola Jaring Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana pembangunan sukan sebanyak RM2 juta bagi bola sepak, RM1 juta bagi bola jaring dan RM500,000 bagi sepak takraw sebagai usaha memperkukuh ekosistem sukan di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berharap tambahan peruntukan tersebut akan terus menyemarakkan pembangunan sukan bola jaring serta menarik lebih ramai golongan muda untuk bergiat aktif dalam sukan berkenaan.
“Ketika ini Pahang berada di kedudukan kedua di peringkat negara, dan saya berharap kita akan dapat mencapai kedudukan pertama selepas ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

