Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 29 JUN 2026 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kononnya Unit Hemodialisis Hospital Bentong telah ditutup.
Dalam satu kenyataan media semalam, JKNP memaklumkan bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan merupakan maklumat yang tidak disahkan.
Menurut kenyataan itu, Unit Hemodialisis Hospital Bentong masih beroperasi seperti biasa dengan perkhidmatan rawatan kepada pesakit diteruskan mengikut jadual yang telah ditetapkan tanpa sebarang gangguan.
JKNP turut memahami kebimbangan masyarakat, khususnya pesakit serta waris yang bergantung kepada perkhidmatan hemodialisis, namun menegaskan bahawa penyebaran maklumat tidak sahih hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan berita yang tidak disahkan, sebaliknya mendapatkan maklumat melalui saluran komunikasi rasmi Hospital Bentong, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atau Kementerian Kesihatan Malaysia.
JKNP menegaskan komitmennya untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat, selain memaklumkan sebarang perkembangan berkaitan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa. -PAHANGMEDIA

