ROMPIN, 28 JUN 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menyeru lebih banyak institusi pengajian tinggi, khususnya universiti di negeri Pahang, agar tampil menghulurkan biasiswa kepada anak-anak Pulau Tioman bagi membuka lebih banyak peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Paduka Baginda bertitah, inisiatif yang diperkenalkan oleh Institut Jantung Negara University College (IJNUC) menerusi pengurniaan biasiswa kepada dua pelajar cemerlang Pulau Tioman wajar dijadikan contoh oleh universiti-universiti lain dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti dari kawasan luar bandar dan kepulauan.
“Universiti IJN ini sudah menjadi contoh yang terbaik kepada universiti-universiti lain. Saya harap lebih banyak lagi universiti tempatan tampil ke Pulau Tioman dan memberi biasiswa kepada anak-anak tempatan.
“Mana-mana universiti dari Pahang juga harus tampil membantu anak-anak kita di Pulau Tioman. Walaupun mereka berada jauh dari tanah besar, mereka tetap anak-anak kita yang perlu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Biasiswa Institut Jantung Negara (IJN) kepada dua pelajar cemerlang Pulau Tioman yang akan melanjutkan pengajian di Institut Jantung Negara University College (IJNUC).
Dalam titah sama, Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada IJN yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang perubatan, malah sentiasa menyokong pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri Pahang.
Menurut Paduka Baginda, komitmen berterusan IJN untuk turun padang membantu masyarakat termasuk di kawasan pedalaman membuktikan kesungguhan institusi itu dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat negeri ini.
Paduka Baginda menzahirkan keyakinan terhadap kecemerlangan IJN sebagai antara institusi perubatan terbaik di rantau Asia, malah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa atas kepakaran serta kecemerlangannya dalam bidang rawatan jantung.
“Saya amat menghargai kerjasama pihak IJN. Mereka bukan sahaja menjaga kesihatan saya, malah setiap tahun tampil bersama kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program CSR demi kepentingan rakyat, termasuk di kawasan pedalaman seperti Kampung Bantal. Kesungguhan ini amat bermakna kepada saya, kerajaan dan seluruh rakyat Pahang,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menzahirkan rasa bangga atas kejayaan dua penerima biasiswa berkenaan yang dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik serta merit masing-masing.
Paduka Baginda bertitah agar kedua-dua pelajar tersebut memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian dan menjadikan kejayaan sebagai satu-satunya matlamat.
“Failure is not an option. Jangan fikir tentang kegagalan. Tentukan kamu berjaya dalam tempoh pengajian ini kerana kamu akan menjadi tanda aras kepada anak-anak muda Pulau Tioman yang lain,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menasihati kedua-dua pelajar supaya menjaga disiplin, mengurus masa dengan baik serta sentiasa memberi fokus kepada pelajaran sepanjang berada di Kuala Lumpur. -PAHANGMEDIA
Sumber ; KESULTANAN PAHANG

