Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 JUN 2026 : Seorang anak jati Pahang membuktikan bahawa inovasi tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa apabila syarikat startup diasaskannya, Semart, dinobatkan sebagai pemenang World Summit Awards (WSA), sebuah pengiktirafan global yang mengiktiraf penyelesaian digital berimpak tinggi kepada masyarakat di Vienna, Austria baru-baru ini.
Lebih membanggakan platform yang diasaskan Encik Nadzrul Hanif Ahmad Nadzer, 36, ini diiktiraf sebagai antara penyelesaian digital terbaik yang mewakili negara sebelum dicalonkan bagi menyertai WSA yang mana telah membuktikan ia mempunyai nilai dan impak yang setanding dengan inovasi terbaik dari seluruh dunia.

Kemenangan itu dianggap istimewa kerana penyertaan ke WSA tidak dibuka secara terus kepada orang ramai, sebaliknya, hanya inovasi yang dicalonkan oleh pakar negara atau National Experts layak untuk dinilai di peringkat antarabangsa.
WSA yang ditubuhkan pada tahun 2003 di bawah kerangka World Summit on the Information Society (WSIS) memberi penilaian berdasarkan impak sosial, tahap inovasi, kebolehskalaan, kelestarian jangka panjang serta sumbangan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Nadzrul Hanif berkata, Semart diasaskan dengan misi membantu usahawan mikro yang masih bergantung kepada rekod manual dan berdepan kesukaran mengurus data kewangan perniagaan.

“Melalui platform tersebut, pengguna dapat merekod jualan, mengurus kewangan serta memahami prestasi perniagaan secara lebih sistematik.
“Kejayaan Semart turut disokong oleh penglibatan syarikat itu dalam ekosistem pembangunan perusahaan sosial melalui SEEd.Lab serta pencapaian sebagai Naib Johan Program Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) Cohort 2 yang disokong Kerajaan Negeri Pahang, melalui Yayasan Pahang,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, pengalaman dan bimbingan yang diterima menerusi program-program tersebut telah membantu Semart memperkukuhkan model perniagaan serta meningkatkan impak sosial sehingga mampu bersaing di peringkat global.
Kisah kejayaan Semart menjadi bukti bahawa inovasi bertaraf dunia tidak semestinya lahir dari pusat teknologi antarabangsa, sebaliknya boleh bermula daripada idea anak tempatan yang memahami keperluan komuniti dan berusaha menyelesaikan masalah sebenar masyarakat.
Kemenangan tersebut sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda, khususnya anak-anak Pahang, bahawa penyelesaian berimpak tinggi yang dibangunkan di peringkat tempatan mampu mendapat pengiktirafan di pentas dunia. – PAHANGMEDIA

