CAMERON HIGHLANDS, 8 JUN 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan keprihatinan yang mendalam terhadap usaha memperluaskan kemudahan asas khususnya bekalan elektrik kepada rakyat di kawasan pedalaman negeri ini.
Paduka Baginda bertitah, penyediaan kemudahan asas seperti elektrik dan air merupakan keperluan penting yang perlu diberikan perhatian berterusan demi kesejahteraan rakyat, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan tempat sudah pun dicahayakan tetapi masih ada lagi satu dua tempat yang masih dalam kegelapan,” titah Paduka Baginda ketika berkenan melawat tapak pemasangan lampu solar di Kampung Orang Asli Kasau dan Teji, hari ini.
Pada masa sama, Paduka Baginda merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas komitmen berterusan dalam memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan kepada rakyat di seluruh negeri Pahang.
Baginda turut menegaskan bahawa usaha menyediakan kemudahan asas tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa, sebaliknya memerlukan tindakan yang lebih proaktif daripada semua pihak berkaitan termasuk TNB, pentadbir daerah dan mukim.

“Saya harap pihak TNB ataupun wakil-wakil daerah ataupun mukim-mukim terus bertindak secara lebih proaktif untuk menentukan kemudahan asas seperti elektrik, air dan sebagainya mesti diberi kepada rakyat saya di seluruh negeri Pahang,” titah Paduka Baginda.
Dalam perkembangan sama, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas TNB dalam menyelesaikan isu keperluan bekalan elektrik di Kampung Kuala Sat yang pernah tular sebelum ini, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Baginda turut berkongsi pengalaman meninjau beberapa kawasan pedalaman termasuk Pos Telanok, Pos Pantos serta kampung-kampung sekitar seperti Kampung Susu, Kampung Leyar, Kampung Menson dan Kuala Boh yang kini menunjukkan perkembangan positif dari segi kemudahan infrastruktur asas.

“Syukur alhamdulillah hari ini saya dapat sampai di Pos Telanok… nampak jalan semua ada, tiang elektrik semua ada,” titah Baginda.
Sementara itu, Paduka Baginda turut menyeru masyarakat Orang Asli di Pos Telanok agar terus mengekalkan perpaduan, memelihara taat setia kepada Raja dan bersama-sama membantu usaha kerajaan dalam memajukan kawasan mereka.
Baginda juga menitahkan supaya sebarang masalah atau kekurangan yang dihadapi penduduk disalurkan melalui wakil rakyat atau pegawai daerah agar tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera.
Titah Paduka Baginda itu mencerminkan komitmen berterusan Institusi Kesultanan Pahang dalam memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini, termasuk komuniti di kawasan pedalaman.

