Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 31 MEI 2026 : Pahang memperkenalkan tujuh penerbitan eksklusif buku baharu yang mencerminkan identiti, kekuatan dan keistimewaan Negeri Pahang bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Kali Ke-43 hari ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kesemua naskah ini membuktikan Pahang bukan sahaja kaya dengan sumber alam dan warisan, tetapi juga kaya dengan ilmu, pengalaman dan cerita yang wajar dikongsi kepada dunia.
Tujuh naskah baharu yang diperkenalkan itu adalah Sketch Pahang: Pahang First Edisi Istimewa, Best Places in Tengku Hassanal Wildlife Reserve, Pahang Passage Through Sight and Soul, Dasar Biodiversiti Negeri Pahang, Pahang State Action Plan for Peatlands 2026-2035, Pasport Pahang: Edutourism Trail @ Kuantan, dan Celebrating 25 Years Forest Frontier Discoveries.

“Setiap penerbitan ini membawa cerita dan nilai tersendiri. Ada yang mengetengahkan keindahan alam semula jadi, ada yang merakamkan pencapaian saintifik dan konservasi.
“Ada yang memperkukuhkan dasar serta hala tuju pembangunan lestari, dan ada juga yang memperkenalkan produk pelancongan baharu untuk dinikmati masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang: Celebrating Stories pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pelancaran Pasport Pahang: Edutourism Trail @ Kuantan serta prestasi Tourism Pahang dalam pelbagai aspek pelancongan.

“Inisiatif ini membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuhkan sektor pelancongan negeri dan menjadi sebahagian daripada persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Dalam pada itu, prestasi Tourism Pahang juga amat membanggakan apabila berjaya merekodkan 13.73 juta pengunjung pada tahun 2024 dan meningkat kepada 15.58 juta pengunjung pada tahun 2025.
“Lebih membanggakan, Tourism Pahang turut menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah Most Impactful State Tourism Organisation – Malaysia 2025 dalam Asian Tourism & Hospitality Awards 2025–2026,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga mengambil berat aspek pemuliharaan alam sekitar melalui pengiktirafan yang diterima Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal serta penaiktarafan Galeri Gandah.

“Dalam aspek pemuliharaan alam sekitar pula, Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal terus mencatat sejarah tersendiri. Dengan keluasan melebihi 60,000 hektar merangkumi daerah Temerloh, Jerantut dan Raub, kawasan ini kini diiktiraf sebagai ASEAN Heritage Park ke-64 sejak 3 September 2025.
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen serius Negeri Pahang dan Malaysia dalam memelihara khazanah biodiversiti untuk generasi masa hadapan.
“Begitu juga dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang terus menjadi tarikan utama pelancong. Pada tahun 2025, pusat ini berjaya merekodkan seramai 261,687 pengunjung berbanding 179,262 pengunjung pada tahun 2022. Bagi memperkukuhkan lagi pengalaman pelawat, Galeri Gandah akan dinaik taraf pada tahun ini seiring dengan pembangunan Galeri Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal,” katanya. -PAHANGMEDIA

