BENTONG, 29 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam memperbanyakkan doa, zikir dan amal kebajikan serta meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan sepanjang bulan Zulhijah yang penuh keberkatan ini.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku bertitah, bulan Zulhijah merupakan waktu terbaik untuk umat Islam memperkukuhkan hubungan sesama insan, memperbanyakkan amal ibadah serta menghayati semangat pengorbanan demi agama, bangsa dan negara.

“Sempena bulan yang mulia ini, terutama pada hari-hari tasyrik, kita seharusnya memperbanyakkan amal kebajikan dan meninggalkan segala bentuk hiburan melampau, pesta, acara yang melalaikan serta perkara-perkara yang boleh mencemarkan kemuliaannya.
“Kita juga hendaklah mengukuhkan semangat pengorbanan, khususnya dalam meredakan sengketa dan perselisihan faham sesama umat Islam, terutama dalam kalangan orang Melayu sepertimana yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menerusi Perutusan Aidiladha baru-baru ini.
“Dalam masa yang sama, perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini juga perlu terus dipelihara kerana kekuatan sesebuah negara terletak pada sikap saling menghormati, memahami dan hidup bersatu padu antara semua bangsa serta lapisan masyarakat,” titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku.

Tengku Mahkota Pahang turut menegaskan bahawa kesatuan dan perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama hendaklah sentiasa dipelihara, diperkasakan dan dijunjung tinggi demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan bangsa dan negara.
“Sebagai waris Institusi Kesultanan Pahang, saya mendoakan agar seluruh rakyat Negeri Pahang sentiasa dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan keberkatan di dunia serta akhirat.
“Layar terkembang di Mersing pagi,
Tioman kelihatan di balik kabus,
Bukan mudah persaudaraan dibagi,
Satu akar, satu abus.”
“Ya Latiff,” titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang sebelum itu berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Tunku Azizah Iskandar, Kampung Baru di sini.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku turut berkenan mendengar khutbah Jumaat bertajuk “Amanah Nyawa Tanggungjawab Iman” yang menyentuh mengenai kepentingan menjaga keselamatan dan nyawa sebagai amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT, selain menyeru umat Islam agar sentiasa mematuhi peraturan, mengutamakan integriti serta memupuk sikap bertanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan demi kesejahteraan masyarakat. –PAHANG MEDIA
Sumber : KESULTANAN PAHANG

