Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah sehingga 30 Jun 2026 berbanding tarikh asal sebelum ini iaitu pada 31 Mei setiap tahun.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, lanjutan tempoh bayaran cukai tanah diberikan dengan pengecualian daripada dikenakan denda lewat sebanyak 10 peratus.
“Kerajaan Negeri Pahang bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah bagi tahun 2026 sehingga 30 Jun 2026 berbanding tarikh asal sebelum ini iaitu pada 31 Mei setiap tahun.
“Lanjutan tempoh bayaran cukai tanah ini diberikan dengan pengecualian daripada dikenakan denda lewat sebanyak 10 peratus daripada jumlah cukai tanah semasa yang dikenakan.
“Pelanjutan tempoh ini juga mengambil kira tempoh cuti yang agak panjang sepanjang bulan Mei bagi memberi ruang dan kemudahan kepada rakyat untuk menjelaskan bayaran cukai tanah masing-masing,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pembayar cukai di negeri ini untuk mengambil peluang lanjutan tempoh ini untuk menyelesaikan bayaran cukai tanah masing-masing dengan segera.
“Saya ingin mengingatkan bahawa cukai tanah merupakan tanggungjawab penting setiap pemilik tanah dan hasil kutipan tersebut dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan, penyediaan infrastruktur, kebajikan rakyat serta perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat Pahang secara keseluruhannya.
“Sehubungan itu, saya menyeru agar semua pembayar cukai mengambil peluang lanjutan tempoh ini untuk menyelesaikan bayaran cukai tanah masing-masing dengan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memastikan tadbir urus hasil negeri berada pada tahap terbaik demi menjamin kestabilan kewangan negeri serta kelangsungan agenda pembangunan bagi manfaat seluruh rakyat. -PAHANGMEDIA

